Khamis, 31 Mei 2018

'Arul Kanda berlagak seperti peguam ketika disoal kementerian'

MALAYSIAKINI

   
Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berlagak seperti peguam ketika disoal berhubung pelaburan syarikat milik negara itu, kata Anggota Parlimen Bangi, Ong Kian Ming.

Ong, yang juga pegawai khas kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berkata Arul Kanda bergantung kepada "skrip undang-undang" semasa sesi pada 23 Mei ketika memberi taklimat kepada kementerian itu.

"Saya katakan Arul Kanda sangat berlagak seperti peguam, segala yang dia diperkatakan seolah-olah dia seorang peguam.

"Dia menggunakan terma undang-undang, bergantung kepada skrip dan tidak memberikan gambaran penuh," kata Ong dalam temu bual dengan stesen radio BFM.

Misalnya, Ong berkata, Arul bersikap demikian ketika kementeriannya bertanya mengenai pelaburan unit dana RM9.8 bilion oleh 1MDB.

"Kami tanya mengenainya, tengok, adakah kamu cuba mendapatkan semula unit-unit ini dan jawapan yang mereka berikan ialah ia sedang disiasat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) dan semua fail kami dengan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Mereka cuba mencuci tangan daripada cuba mendapatkan semula wang ini. Ini wang yang banyak, RM9 bilion boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

"Tetapi ternyata sama ada Arul Kanda atau (bekas) ketua pegawai kewangan (CFO) tidak berminat untuk mendapatkan wang ini yang dihutang dengan rakyat Malaysia," kata Ong.

Ong berkata selain Arul Kanda, turut hadir bekas CFO 1MDB, Azmi Tahir dan bekas setiausaha syarikat Ivan Chen.

Selepas taklimat berkenaan, Lim menyifatkan Arul Kanda sebagai "tidak jujur ​​dan tidak boleh dipercayai".

Arul Kanda kemudian menegur Lim dan mengatakan kementerian itu tidak berlaku adil apabila mengeluarkan kenyataan umum yang didakwanya memberi gambaran “tidak tepat”.

Tiada ulasan: