Suami kepada pelakon drama ditahan polis hari ini bagi
membantu siasatan kes penipuan pelaburan forex (GWGFX) dan Bitcoin
Bitkingdom membabitkan kerugian RM13.9 juta.
Sumber polis berkata lelaki itu ditahan ketika hadir untuk
memberi keterangan di Pejabat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang
Haram Urus Setia Ketua Polis Negara di Menara 238, Jalan Tun Razak di
Kuala Lumpur kira-kira 12 tengah hari tadi.
“Tempoh tahanan reman terhadap lelaki itu akan dibuat esok,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.
Lelaki yang bergelar Datuk itu merupakan suami kepada
pelakon wanita berusia 23 tahun dan mereka dilaporkan baharu mendirikan
rumahtangga pada 18 Mac lalu.
Sementara itu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan
Wang Haram, Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara Bukit Aman, Datuk
Khalil Azlan Chik ketika dihubungi Bernama mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan.
Pada 14 Mei lepas, polis menahan pemilik syarikat produksi
bergelar Datuk berusia 35 tahun bagi membantu siasatan berkaitan kes
yang sama. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan