Ahad, 27 Mei 2018

Tutup BTN sekarang, kata Niz Nazmi

 
Ketua Pemuda PKR berkata Biro Tata Negara 'beroperasi dalam kerangka Perang Dingin', sedangkan generasi muda sudah bergerak ke depan dan lebih yakin dengan masa depan negara.





PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil langkah segera menutup Biro Tata Negara (BTN) yang dikritik hebat, kata Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi menyifatkan biro itu hari ini sebagai “sangat memihak dan bersifat toksik terhadap perpaduan sejati negara” dan masih beroperasi dalam “kerangka Perang Dingin” sedangkan dunia sudah berubah.

“Masanya telah tiba untuk menutup BTN,” kata beliau hari ini.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu sendiri mendapati aktiviti BTN padat dengan rasisme dan politik.

Sebagai pelajar, beliau pernah mengikuti kem BTN dan melihat bagaimana peserta berbangsa Melayu diapi-apikan supaya membenci rakyat berketurunan dan beragama lain. Selain itu, parti pembangkang juga diserang dan parti kerajaan diagung-agungkan.

“Ada terlampau banyak laporan tentang retorik sedemikian digunakan dalam acara BTN untuk menganggap ia merupakan kejadian terpencil,” katanya.

Beliau tidak percaya nada kandungan program BN sudah berubah. Pada 2015, BTN berdepan kontroversi selepas didedahkan kepada umum tentang slaid yang digunakan oleh biro itu dalam programnya yang antara lain mendakwa muzik indie ancaman kepada negara.

Perdana Menteri Tun Dr Mahahir Mohamad sebelum ini memaklumkan penutupan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dikritik sebagai unit propaganda Umno. Majlis Profesor Negara juga ditutup.

Dua minggu lepas, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, Pakatan Harapan akan mengkaji sama ada BTN dan badan kerajaan lain yang digunakan untuk tujuan politik boleh diubah suai sebelum keputusan penutupan dibuat.

Nik Nazmi berkata terdapat cara lain lebih baik dan berkesan untuk memupuk patriotisme, termasuk dalam kalangan generasi muda.

“Kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya lepas lebih berjaya menjadikan orang muda lebih berkeyakinan dan optimis tentang masa depan, selain sedia berkhidmat kepada negara berbanding apa yang pernah dibuat oleh BTN,” katanya.

Tiada ulasan: