Khamis, 31 Mei 2018

Berapa kos cabar keputusan ICJ dalam kes Pulau Batu Putih, soal peguam



Ragunathan Kesavan berkata Putrajaya perlu mendedahkan maklumat terpinci kos dan asas keputusan mencabar dapatan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.


Malaysia sebelum ini memfailkan semakan semula keputusan ICJ mengiktiraf Singapura sebagai pemilik Pedra Branca, atau Pulau Batu Putih. (Gambar youtube)


PETALING JAYA: Putrajaya mesti mendedahkan kos ditanggung Jabatan Peguam Negara dalam memfailkan semakan terhadap dapatan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kedaulatan Pulau Batu Putih, kata bekas presiden Majlis Peguam.

Ragunath Kesavan berkata, rakyat berhak tahu tentang kos terlibat dalam kerja-kerja persiapan kes, pelantikan peguam dan penempatan pegawai undang-undang Jabatan Peguam Negara di London.

Beliau berkata, Malaysia tidak seharusnya memfailkan semakan terhadap dapatan tersebut kerana ia tidak berbaloi.

“Apakah asas undang-undang permohonan semakan itu,” tanya beliau, dan menambah perkara itu tidak pernah dimaklumkan kepada orang ramai.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkata Batuan Tengah yang merupakan milik Malaysia dan terletak berdekatan dengan Pulau Batu Putih akan dibangunkan.

“Kita mahu membesarkan Batuan Tengah itu supaya kita boleh membentuk sebuah pulau kecil,” kata Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Singapura dalam kenyataan semalam berkata, pada 28 Mei lepas Malaysia memaklumkan kepada ICJ untuk tidak meneruskan prosiding yang dimulakannya sebelum itu.

Kenyataan itu menyebut, Singapura memaklumkan kepada ICJ keesokan harinya ia bersetuju dengan permohonan Malaysia.

Tahun lepas, Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali berkata Malaysia melantik semula John Dugard sebagai hakim ad-hocnya di ICJ.

Singapura melantik, bekas presiden ICJ, Gilbert Guillaume, sebagai hakim ad-hoc bagi pihak negara itu.

Dalam pertikaian wilayah antara 2 negara berjiran itu pada 2007, Dugard mewakili Malaysia dalam panel 16 hakim ICJ yang mendengar kes, sementara Singapura diwakili Pemmaraju Sreenivasa Rao dari India.

Di bawah statut mahkamah, negara yang tidak mempunyai hakim warga negaranya sendiri dalam panel tersebut boleh melantik orang lain sebagai hakim ad-hoc mewakilinya.

Pada 12 Februari tahun lepas, Malaysia memfailkan permohonan semakan ke atas penghakiman ICJ bertarikh 23 Mei 2008 berhubung Pulau Batu Putih, Batuan Tengah dan Legeh Selatan.

Dalam permohonannya, Malaysia menyebut 3 dokumen yang baru-baru ini diubah status oleh United Kingdom bagi menyokong permohonan itu.

Apandi berkata, beliau akan mengetuai sepasukan 7 orang, termasuk 3 pakar asing.

Dalam keputusan majoriti 12-4, ICJ, di The Hague, memutuskan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, seluas saiz separuh padang bola sepak, merupakan milik Singapura.

Ia juga dalam keputusan majoriti 15-1 berkata, kedaulatan ke atas Batuan Tengah dimiliki oleh Malaysia, sementara kedaulatan ke atas Legeh Selatan akan ditentukan oleh kedua-dua negara dalam perundingan mereka berhubungan sempadan perairan masing-masing.

Tiada ulasan: