Khamis, 31 Mei 2018

Pemuda Pas pertikai RTM siar Piala Dunia 2018






Ketika rakyat diminta menyumbang ke Tabung Harapan Rakyat bagi menyelesaikan hutang negara, Kerajaan berbelanja pada perkara bukan keperluan, kata Nurul Islam.

Pemuda Pas mempersoalkan tindakan kerajaan yang mahu menayangkan perlawanan Piala Dunia 2018 secara langsung di RTM dengan anggapan ia membazir.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff bertanya, adakah berbaloi kerajaan membelanjakan RM 40 Juta dengan anggaran pendapatan RM 12 Juta?

“Ketika rakyat diminta menyumbang ke Tabung Harapan Rakyat bagi menyelesaikan hutang negara, Kerajaan berbelanja pada perkara bukan keperluan.

“Saya merasakan ia sangat tidak wajar dan mencadangkan agar Menteri menpertimbangkan semula keputusan beliau,” kata calon Pas Setiawangsa itu melalui facebooknya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia YB Gobind Singh Deo mengumumkan kerajaan akan menayangkan perlawanan Piala Dunia 2018 secara langsung di RTM. Kos yang akan dibelanjakan adalah RM 40 juta bagi 41 perlawanan yang mana 27 secara siaran langsung dan 14 melalui siaran tertunda.

Bagi Nurul, dalam keadaan negara terpaksa berjimat cermat kerana bebanan hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu, ramai mempersoalkan tindakan Kementerian membelanjakan RM40 Juta.

Namun ada yang berhujah ianya akan dibiayai melalui pengiklanan. Angka pengiklanan yang dianggarkan adalah RM250 Juta, katanya.

Katanya, setelah disemak laporan kewangan RTM 2013-2016 (2017 tidak dipaparkan) melalui laporan tahunan kementerian di laman sesawang rasmi kementerian, beliau dapati jumlah pendapatan RTM melalui pengiklanan adalah seperti berikut :

2013 = RM 2.48 Juta
2014 = RM 51.9 Juta (Piala Dunia Brazil)
2015 = RM 38.6 Juta
2016 = RM 43.1 Juta

Katanya, jika diteliti, pada 2014 iaitu tahun pertandingan Piala Dunia di Brazil, RTM menyiarkan siaran langsung dan hasil yang diperolehi oleh RTM melalui pengiklanan adalah RM 52 Juta.

Manakala tahun tahun lain, pendapatan yang diperolehi sekitar RM 40 Juta. Ia adalah pendapatan pengiklanan sepanjang tahun.

Jadi, katanya, lebihan pendapatan pengiklanan pada tahun piala dunia hanyalah RM 12 Juta sahaja.

Tiada ulasan: