Rabu, 30 Mei 2018

Najib dakwa pegawai pengiring telah ditarik balik, PDRM nafi

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR :  Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan, yang ditugaskan kepadanya telah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC, sejak beberapa minggu lepas.

“Hari ini, saya membalas tabik hormat dan mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, Unit Tindakan Khas, polis pengiring dan pegawai, yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada saya dan keluarga sama ada di Pejabat Perdana Menteri serta di kediaman rasmi Seri Perdana,” kata Najib.

Najib berkata beliau dan keluarga tidak akan melupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang sembilan tahun termasuk mereka yang sudah berjasa kepada mereka selama 14 tahun semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Saya juga mohon kerajaan baharu supaya sentiasa menjaga kebajikan mereka kerana mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan,” katanya.

Berikut adalah kenyataan penuh menerusi  laman sosialnya beliau :

Hari ini, saya membalas tabik hormat dan mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, Unit Tindakan Khas, polis pengiring dan pegawai, yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada saya dan keluarga sama ada di Pejabat Perdana Menteri serta di kediaman rasmi Seri Perdana.

Sejak beberapa minggu ini, kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan yang ditugaskan kepada saya sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC (Aide De Camp).

Image result for Najib dakwa pegawai pengiring , keselamatan telah ditarik balik

Tak dapat dinafikan, mereka berselubung emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika kami berlafaz kata perpisahan.

Saya dan keluarga tidak akan lupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang 9 tahun ini – termasuk mereka yang sudah berjasa kepada kami selama 14 tahun semasa saya masih Timbalan Perdana Menteri.

Sehingga kita bertemu lagi, saya ucapkan kepada mereka selamat maju jaya dan berharap mereka akan terus berkhidmat kepada kerajaan baharu dengan dedikasi dan kesetiaan yang sama ketika bersama saya.

Saya juga mohon kerajaan baharu supaya sentiasa menjaga kebajikan mereka kerana mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan.

Sementara itu Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan telah menarik balik kesemua pegawai keselamatan kecuali  seorang pegawai Aide De Camp (ADC)  yang ditugaskan untuk beliau dan keluarganya.

Ketua  Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya tidak menarik balik kawalan keselamatan yang diberikan terhadap Najib sebaliknya hanya mengurangkan jumlah  anggota yang ditugaskan itu.

“Setiap bekas perdana menteri  mempunyai kelayakan tertentu namun, jumlah anggota yang bertugas tidak sama seperti sebelumnya. Kita hanya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagaimanapun anggota yang bertugas seperti ADC, pemandu serta pengawal peribadi masih ditempatkan bagi mengawal keselamatan beliau dan Datin Seri (Rosmah Mansor),” katanya selepas Majlis Iftar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Warga PDRM dan agensi Kementerian Dalam Negeri di Masjid Bukit Aman di sini, hari ini.

Tiada ulasan: