Ahad, 27 Mei 2018
Jamal tidak lari, sedia beri kerjasama, kata peguam
Peguam Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos telah menghubungi pihaknya dan memaklumkan bahawa beliau sedia memberikan kerjasama yang sebaiknya kepada pihak polis untuk menyempurnakan proses ikat jamin tempoh hari.
“Beliau telah menjelaskan bahawa pada petang hari kejadian beliau bergegas keluar dari hospital setelah selesai proses “discharge” untuk mengejar urusan waktu pejabat yang lain.
“Pada ketika itu beliau percaya dan beranggapan proses ikat jamin telah selesai dan sempurna.
“Beliau juga memaklumkan bahawa beliau masih belum sihat sepenuhnya dan dalam proses penyembuhan,” kata Mohd Imran dalam kenyataan medianya hari ini.
Jelasnya, Jamal akan hadir ke mahkamah untuk menyempurnakan proses ikat jamin dan memberikan kerjasama kepada pihak Polis setelah beliau benar-benar sihat.
Katanya lagi, pihak peguam percaya telah berlaku sedikit salah faham, sehingga perkara dan situasi beliau tersebut telah dieksploitasi dengan tanggapan negatif.
“Beliau tidak melarikan diri dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta bersedia untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya.
“Pihak peguam juga telah memaklumkan kepada pihak Polis berkenaan perkembangan ini dan pihak Polis telah mengambil maklum perkara ini,” kata beliau
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan