Antara mereka ialah seorang pemuda berusia 25 tahun yang tidak pernah mendaftar sebagai pengundi.
Cheong Chee Woh dan isteri, Loo Sook Whai, masing-masing berusia 68, berasa sangat kecewa kerana tidak dapat membuang undi pada 9 Mei nanti.
“Kami tidak akan dapat pergi ke Kamunting. Kami sangat kecewa tidak dapat mengundi,” kata Loo, yang tidak pernah gagal melaksanakan tanggungjawabnya dalam 5 pilihan raya umum lepas.
Pada sidang media hari ini, Ahli Parlimen DAP Charles Santiago turut mengetengahkan nasib 8 warga Klang lain, termasuk seorang pemuda yang tidak pernah berdaftar sebagai pengundi.
Kerusi DUN Kamunting terletak bawah Parlimen Taiping. Kerusi itu disandang wakil rakyat BN, Mohammad Zahir Abdul Khalid yang menewaskan calon PAS, Mohamad Fakhrudin Abdul Aziz pada pilihan raya lepas.
Pegawai bank T Sargunan berkata dia mendaftarkan dirinya sebagai pengundi pada tahun lepas menggunakan kad pengenalan beralamat Klang.
Pada satu ketika kad pengenalannya hilang dan Sargunan sudah menggantikannya.
“Walaupun alamat di MyKad terterea Klang, saya dapati menurut mikrocip saya menetap di kawasan bernama Medan Saujana di Kamunting. Saya tidak pernah ke Kamunting. Tiba-tiba saya seorang pengundi di sana.”
Eugene Oliver, 25, terkejut apabila mendapati dia seorang pengundi Kamunting walaupun tidak pernah berdaftar sebelum ini.
“Ada sesuatu yang tak kena. Macam mana seseorang yang tak pernah berdaftar sebagai pengundi tiba-tiba jadi pengundi?” kata Santiago.
Beliau berkata aduan sama diterima daripada seorang pelajar Malaysia di Rusia, yang berkata dia tak pernah berdaftar sebagai pengundi.
Santiago berkata mengikut Akta Pilihan Raya, daftar pemilih yang sudah diwartakan tidak boleh dipinda sehingga daftar baharu dikeluarkan.
“Saya bukan meminta SPR melakukan pembetulan. Saya minta suruhanjaya tunjukkan bukti mereka yang terkesan ini ada memohon untuk berpindah kawasan atau mendaftarkan diri sebagai pengundi di Kamunting,” katanya.
Santiago akan mengheret SPR ke mahkamah jika suruhanjaya itu gagal menunjukkan bukti permohonan pindah kawasan atau pendaftaran.
FMT belum dapat menghubungi Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan