KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Azman Abdullah
bersama pasukan pendakwaan dan pembelaan hari ini melawat tiga lokasi
termasuk tempat kemalangan melibatkan kereta yang dinaiki Timbalan
Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais dengan Mitsubishi Triton.
Kesemua tertuduh, tiga penganggur, R. Dinishwaran, 26; A.K. Thinesh
Kumar, 25; M. Vishwanath, 28; pelajar kolej, S. Nimalan, 25, dan pemberi
pinjaman wang, S. Ravi Chandaran, 47, turut dibawa ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun, pakar patologi tentera, Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 55,
yang turut didakwa bersama lima tertuduh itu tidak dibawa bersama-sama.
Tiga lokasi tersebut adalah kediaman Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan
Rayuan, Jabatan Peguam Negara itu di Kondominium Menara Duta, tempat
kereta mangsa dilanggar dan tempat mangsa berhenti bagi melihat keadaan
keretanya di Jalan Dutamas Raya di sini.
Pasukan pendakwaan dan pembelaan menghabiskan masa kira-kira 45 minit
melawat tiga lokasi itu sebelum pulang ke mahkamah untuk sambung bicara
kes tersebut.
Kesemua lelaki berkenaan didakwa membunuh Kevin Morais dalam perjalanan
dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul di sini ke No. 1, Jalan
USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4
September 2015.
Tertuduh-tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan