Isnin, 16 April 2018

Dr M pemimpin penuh kontradiksi, kata Pairin

 
Timbalan ketua menteri Sabah berkata pembangunan negeri akan terkesan sekiranya Dr Mahathir menjadi perdana menteri sekali lagi.





KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata Sabah akan sekali lagi tidak dipedulikan sekiranya Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri semula.

Menyifatkan Dr Mahathir sebagai “orang yang penuh kontradiksi”, timbalan ketua menteri Sabah itu mempersoalkan keikhlasan pengerusi Pakatan Harapan berusia 93 tahun itu dalam membantu negara, terutama Sabah.

Pairin berkata, sepanjang 22 tahun Dr Mahathir menjadi perdana menteri, beliau bukan sahaja meminggirkan Sabah tetapi turut melaksanakan dasar yang diragui seperti penggiliran jawatan ketua menteri setiap 2 tahun, walaupun beliau sendiri akui ia tidak baik untuk Sabah.

“Beliau akui masa 2 tahun tidak mencukupi…beliau sendiri cakap. Beliau tahu ia merosakkan tetapi dengan sengaja melaksanakannya kerana beliau tidak peduli tentang rakyat.

“Jadi beliau penuh kontradiksi. Beliau tidak ikhlas terhadap rakyat Sabah,” kata Pairin selepas melancarkan hari terbuka syarikat Sabah Electricity hari ini.

Sistem penggiliran ketua menteri Sabah dibatalkan pada 2004.

Huguan Siou, atau pemimpin tertinggi masyarakat Kadazandusun Murut itu turut mengimbau peristiwa yang berlaku selepas pilihan raya negeri 1985 yang menunjukkan sikap tidak peduli Mahathir terhadap Sabah.

“Ia selepas pilihan raya yang menyaksikan PBS memenangi pilihan raya negeri dan saya menjadi ketua menteri. Bila tiba ke sini, beliau (Dr Mahathir) tidak tahu siapa ketua menteri Sabah.

“Ini menunjukkan beliau tidak pedulikan Sabah,” kata Pairin, dan menambah Dr Mahathir pun jarang datang melawat negeri itu.

Pairin berkata pengumuman Dr Mahathir mahu “selamatkan” negara hanyalah untuk memenuhi agenda politik calon perdana menteri pakatan pembangkang itu.

“Beliau mahu jadi perdana menteri bukan? Sepatutnya beliau meminta maaf kerana tidak membantu Sabah daripada berkata saya mahu bantu sekarang pada usia 93.”

“Boleh anda bayangkan itu? Agenda mereka tidak ikhlas, terutama kepada Sabah. Mereka hanya hendak memerintah kita.”

Pairin berkata keadaan itu jauh berbeza dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Terbukti di bawah kepimpinan Najib hasil kejayaan dinikmati rakyat. Kami tidak mahu momentum pembangunan ini terganggu.

“Beliau satu-satunya orang yang memberi respons kepada keperluan dan permintaan kami di Sabah, bukan sahaja dari segi prasarana, kekuatan ekonomi tetapi juga keselamatan,” katanya.

Pairin juga berkata, kerjasama PH dengan Parti Wawasan Sabah juga meragukan.

“Pakatan pilihan raya itu, pada masa ini, tidak menjadi kenyataan. Mereka masih terumbang ambing.

“Ia tidak bertulis dan tiada apa-apa yang nyata. Penggunaan logo tunggal juga masih belum selesai,” katanya.

Sub tajuk: Pairin mengelak jawab pencalonannya

Timbalan ketua menteri itu enggan menjawab soalan tentang kedudukannya sebagai calon dan hanya berkata, “ia akan diketahui pada hari penamaan calon.”

“Saya ada 6 cucu sekarang dan saya sangat gembira bersama mereka.

“Pada masa ini, saya mahu bersara tetapi masih ada 1% ketidakpastian juga,” katanya merujuk kepada kenyataan sebelum ini yang menyebut ada 99% kemungkinan beliau akan bersara dan tidak bertanding pada PRU14.

“Satu-satunya perkara yang boleh menarik saya semula ialah peluang berkhidmat kepada rakyat. Itu sahaja.

“Jika saya diperlukan, saya ada,” katanya.

Pairin, 78, mengesahkan jawatankuasa dalaman PBS kini membincangkan implikasi beliau tidak lagi terlibat dalam pilihan raya.

“Jawatankuasa sedang berbincang. Jadi kita tunggu keputusannya,” kata beliau.

Tiada ulasan: