THE MALAYSIAN TIMES
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mahu semua anggota komponen parti Barisan Nasional (BN) dan anggota-anggota Parlimen BN bersatu padu dan kekal setia kepada parti.
Amanat itu disampaikan beliau dalam pertemuan khas bersama anggota Parlimen BN di Seri Perdana di sini yang berlangsung kira-kira setengah jam bermula 9 pagi tadi.
Beberapa anggota Parlimen BN yang keluar dari perkarangan Seri Perdana kelihatan ceria sambil menurunkan tingkap kenderaan masing-masing untuk melambai tangan kepada para media yang berkumpul di luar Seri Perdana sejak 8 pagi.
Penyandang kerusi Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui selepas pertemuan itu berkata perdana menteri turut mengucapkan terima kasih kepada semua anggota Parlimen atas perkhidmatan mereka sepanjang penggal ini.
“Beliau (Najib) mengucapkan terima kasih kepada kami anggota Parlimen kerana telah membuat tugas dengan baik…ini pendekatan baharu yang dibuat Najib (dalam pertemuan tersebut).
“Beliau juga menasihatkan kami pada pilihan raya nanti, akan ada nama yang naik, ada yang turun. Ada yang dicalonkan, ada yang tidak dicalonkan tetapi kita mesti tetap bersama-sama BN,” kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu.
Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau berkata pertemuan hari ini dianggap istimewa kerana Najib menyampaikan ucapan yang menyentuh hati mengenai setiakawan dan kesetiaan kepada pemimpin.
“Dalam pertemuan itu juga perdana menteri mengingatkan kami sebagai anggota Parlimen untuk bersama-sama sebagai satu keluarga,” katanya kepada media ketika keluar dari perkarangan Seri Perdana.
Dalam pada itu, penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam Datuk Liang Teck Meng yang juga Setiausaha Agung Gerakan berkata pertemuan tersebut telah berlangsung dengan baik
“Kami menerima beberapa amanat daripada perdana menteri yang meminta kami untuk bersiap sedia (menghadapi pilihan raya umum),” katanya.
Penyandang kerusi Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan berkata Najib juga menasihatkan anggota Parlimen untuk mengekalkan semangat kepada perjuangan BN sama ada dicalonkan pada PRU nanti atau tidak.
“Kita semua gembira dengan pertemuan ini, yang melambangkan kesepaduan dalam BN. Semua rasa puas hati dengan cara perdana menteri dan akan teruskan dengan semangat BN,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan