Rasa kurang selesa terhadap Hanifah Taib di kalangan
ahli PBB dipamerkan secara terbuka di Mukah dan petisyen penolakannya
dihantar kepada perdana menteri.
Namun halangan dari dalam PBB terhadap pencalonan anak bongsu Yang di-Pertua Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud itu baru bermula, dan semakin meningkat menjelang pilihan raya umum 9 Mei ini.
Ini kerana terdapat terlalu banyak pelamar untuk kerusi itu, termasuk ramai penduduk tempatan yang berkelayakan.
Mereka termasuk 3 pemegang doktor falsafah (PhD), Anthony Valentine Laiseh, Sulaiman Hussein yang juga pegawai kanan kerajaan, dan ahli perniagaan Datuk Maliki Mahli.
Nama Paul Drus, seorang usahawan terkenal juga dicadangkan.
Perebutan kerusi itu berlaku selepas Ahli Parlimennya yang sekian lama berkhidmat, Datuk Seri Leo Michael Toyad mengumumkan beliau akan bersara daripada politik 2 tahun lalu.
Hanifah sebenarnya pendatang baharu di kawasan itu, memandangkan ia sudah lama dilobi pihak lain sejak 2 tahun lepas.
Presiden PBB dan Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg dikatakan sukar membuat pendirian berhubung minat Hanifah untuk bertanding di Mukah.
Pada 13 April, Taib melawat Mukah untuk sesi bertemu rakyat, diiringi Hanifah.
Sambutan yang ditunjukkan suam-suam kuku, dengan hanya kira-kira 700 orang yang hadir, walaupun terdapat 3,000 jemputan dihantar.
Mengulas mengenai perbalahan PBB di Mukah, Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak berkata adalah lebih baik parti itu memilih penduduk tempatan.
“Terdapat banyak pemimpin PBB yang layak dan berkebolehan di Mukah dan membantah pencalonan Hanifah kerana dia dianggap ‘orang luar’ disebabkan dia tidak dilahirkan di Mukah dan tidak pernah tinggal di sana,” katanya.
Menurut Jeniri, halangan itu serius kerana poster dan sepanduk yang menolak Hanifah dipamerkan secara terbuka di Mukah sejak beberapa bulan lalu.
Satu petisyen yang ditandatangani 599 pengundi Mukah juga dihantar kepada perdana menteri dan ketua menteri.
Bagaimanapun, Hanifah masih boleh menang jika dicalonkan di sebalik halangan itu kerana etnik Melanau adalah penyokong tegar BN, tambah Jeniri, yang juga Melanau dari Mukah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan