Jumaat, 17 November 2017

Peniaga didenda RM10,000 pasang piring parabola haram

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
RASAH: Seorang peniaga didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan menggunakan set parabola yang tidak diperakui seperti dikehendaki peraturan di sebuah rumah di Port Dickson dekat Telok Kemang dua tahun lalu.
 
Memetik laporan Utusan Malaysia, tertuduh Chook Soon Hup, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Mohd. Puzi.
 
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui mengikut Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
 
Dia didakwa mengunakan satu unit dekoder, satu unit piring parabola Antenna dan tiga unit penukar turun blok berhingar rendah (LNB) jenama Smartsat model ST-900B.
 
Soon Hup melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat PT 846, Taman Sentosa dekat Port Dickson kira-kira pukul 12.30 tengah hari pagi pada 3 September 2015.
 
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibacakan bersama Peraturan 16(3) dan boleh dihukum mengikut Peraturan 37, Peraturan-Peraturan sama.
 
Sabit kesalahan, boleh denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
 
Pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Norhani Mohd. Adzhar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 
 

Tiada ulasan: