Jumaat, 24 November 2017

Daesh: Wanita dihukum penjara lapan tahun

MALAYSIAKINI



Seorang wanita dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berniat ke Syria bagi maksud persediaan untuk melakukan perbuatan keganasan, tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Afiqah Farhanah Che Samsudim, 26, dan memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap ada 4 April 2017.

Terdahulu, peguam Mohd Hezri Shaharil, yang mewakili tertuduh, memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira tertuduh benar-benar insaf dan menerima kesalahan itu sebagai balasan dan dia juga telah bertaubat atas perbuatan itu.

"Tertuduh kehilangan bapa pada usia 17 tahun dan mula mengenali seorang lelaki yang kemudian menjadi kekasihnya namun pada 2014... kekasihnya itu telah meninggal dunia. Tertuduh sangat tertekan dan kerap menangis di kubur.

"Tertuduh kemudian berkahwin dengan adik kekasihnya namun hanya bertahan dua bulan kerana suaminya penagih dadah. Dia kemudian menyambung pelajaran dalam kursus berkaitan perubatan,” katanya

Peguam itu berkata akibat kurang matang dan tekanan hidup, tertuduh mula mendekati agama dan mengenali seorang lelaki yang berada di Syria melalui laman sosial di mana lelaki itu mengajaknya ke Syria untuk berkahwin dan tertuduh setuju.

"Akhirnya tertuduh tersedar bahawa dia telah terjebak ke dalam perjuangan sesat dan jihad palsu," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Mohd Sofian dalam penghakimannya, berkata tertuduh bernasib baik kerana ditahan di sempadan Syria dan jika dia berjaya meloloskan diri sudah pasti nasib tertuduh tidak diketahui.

"Jihad yang sebenar adalah pada diri sendiri dan keluarga, bagaimana untuk menjadi muslim sejati.
Mahkamah bersimpati dengan perjalanan hidup tertuduh yang penuh liku dan ranjau sepanjang jalan namun pergi ke Syria bukan penyelesaian kepada masalah,”katanya.

Mohd Sofian turut menasihati Nur Afiqah Farhanah, yang menangis dalam kandang tertuduh, supaya insaf dan kembali ke pangkuan ibunya selepas menjalani hukuman itu.

Wanita yang tidak bekerja itu didakwa dengan niat hendak pergi ke Syria, dengan berlepas dari Malaysia ke Singapura dan seterusnya ke Turki bagi maksud persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas di Syria.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 5.51 petang 29 Ogos 2016. Dia didakwa mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, sebagai persediaan ke Syria, tertuduh telah menjual Perodua Myvi miliknya dengan harga RM5,000 dan sebelum berangkat, tertuduh menulis surat kepada ibunya memberitahu dia hendak berhijrah ke Syria serta ingin mati syahid.

Tertuduh tiba di Istanbul, Turki pada 30 Ogos 2016 dan tinggal di sana selama beberapa bulan sebelum ditangkap pada 9 Februari lalu di sempadan Turki dan Syria oleh pihak berkuasa Turki.

Pada 4 April 2017, tertuduh dihantar pulang ke Malaysia dan ditangkap anggota polis di KLIA dan semasa siasatan, tertuduh memberi kenyataan dia berniat ke Syria selepas mendapat arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi dan Ismail Hosain.- Bernama

Tiada ulasan: