Oleh Syed Mu'az Syed Putra
SHAH ALAM: Majlis Syura Ulama PAS sedang mempertimbang untuk
memansuhkan ba’iah talak tiga dalam memastikan penyelarasan lafaz bai’ah
di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, badan tertinggi parti itu kini
dalam proses penelitian untuk memansuhkan lafaz bai'ah talak tiga yang
dikenakan ke atas calon bertanding khususnya di Kelantan.
"Adapun bai'ah sedang disusun oleh Syura.
"Itu (bai'ah talak tiga) akan disusun nanti dan diputuskan oleh Syura," katanya kepada Antarapos.
Untuk rekod lafaz bai'ah PAS yang digunakan untuk mengikat wakil rakyat
atau pemimpin pernah menjadi perdebatan secara terbuka selepas beberapa
pimpinan kanan bertindak keluar parti.
Ia berikutan pendedahan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob
yang mengesahkan adanya sumpah bai’ah talak tiga yang perlu dilafazkan
wakil rakyat PAS Kelantan sekiranya meninggalkan parti itu untuk
menyertai parti lain.
Menurutnya, akuan sumpah itu diguna pakai sejak 2004 lagi kepada
mana-mana wakil rakyat PAS Kelantan yang mahu meninggalkan parti
tersebut.
Ditanya jaminan tiada lagi wakil rakyat PAS tidak bertindak keluar
parti, Hashim berkata perkara itu di luar bidang kuasa Majlis Syura
Ulama.
"Ia begini yang pertamanya tugas mengadakan bai'ah ini kita buat, itu tanggungjawab jemaah dan mesti buat.
"Adapun yang nak menyeleweng dan sebagainya itu di luar kuasa kita," katanya.
Dalam pada itu, Hashim berkata PAS yakin kembali menjadi saingan terkuat pada pilihan raya kali ini.
"Apa pun yang akan berlaku dalam pilihan raya akan datang tapi sambutan yang nampak pada hari ini bahawa PAS bertambah kuat.
"Sokongan yang diberikan daripada parti politik walaupun kecil dan juga NGO nampaknya bertambah," ujarnya.
Beliau yang juga Bekas pesuruhjaya PAS Perlis yakin parti berteraskan
Islam itu mampu melakukan kejutan bersama blok ketiga pembangkang itu.
"Sokongan individu juga yang berpengaruh bertambah.
"Dengan itu saya yakin bahawa PAS mampu dan tidak mustahil menambah kerusi dalam pilihan raya akan datang," katanya.
PRU14 dijangka diadakan tidak lama lagi walaupun tarikh tepat belum lagi diketahui.
Untuk rekod jumlah kerusi Parlimen yang dikuasai pembangkang pada 2013, hanya 89 kerusi berbanding 133 dimenangi BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan