Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Majlis Syura Ulama akan memutuskan yang terbaik berhubung
cadangan pemansuhan lafaz bai'ah talak tiga khusus untuk ahli parti itu
di Kelantan.
Veteran PAS, Subky Abdul Latif berkata ahli akar umbi PAS harus yakin
dan meletakkan kepercayaan kepada kewibawaan majlis syura dalam
menimbang isu berkenaan.
Terdahulu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin memberitahu Antarapos bahawa
majlis syura sedang mempertimbangkan untuk memansuhkan lafaz bai'ah
talak tiga yang dikenakan ke atas calon yang mewakili PAS pada Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
"Jadi kalau dia (Majlis Syura Ulama) timbang, dia nak bincang. Jadi, kita tengok macam mana nanti.
"Mereka (Majlis Syura Ulama) semua ini ahli-ahli ilmu. Ilmu tinggi,
jadi oleh kerana benda itu kalau dibuat mesti mengikut syarak," katanya
ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Menceritakan mengenai bai'ah itu, Subky turut berkata lafaz bai'ah
talak tiga itu hanya tertakluk kepada ahli PAS, di Kelantan sahaja
bukannya di seluruh negara.
"Tertalak isterinya, kalau orang khianat pada parti untuk menghadapi
pilihan raya ini. Jadi benda itu dibuat di Kelantan," jelasnya.
Hashim Jasin turut berkata kepada Antarapos, penelitian pemansuhan
bai'ah itu termasuk dalam usaha parti untuk memastikan penyelarasan
lafaz bai’ah di seluruh negara menjelang pilihan raya umum kali ini.
Untuk rekod, lafaz bai'ah PAS yang digunakan untuk mengikat wakil
rakyat atau pemimpin pernah menjadi perdebatan secara terbuka selepas
beberapa pimpinan kanan bertindak keluar parti.
Isu lafaz talak tiga itu pernah muncul pada tahun 2015, apabila wakil
rakyat PAS Kelantan melanggar bai’ah tersebut, iaitu ialah Ahli Parlimen
Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk
Kamarudin Jaafar.
PAS memperkenalkan bai’ah atau sumpah kepada wakil rakyatnya di seluruh
negara yang bertanding atas tiket parti itu sejak 2004 yang mesti
mengosongkan kerusi mereka jika meninggalkan parti atau melompat ke
parti lain dengan sukarela.
Selain itu, bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat dikatakan menambah syarat bahawa wakil rakyat PAS di Kelantan perlu
bertaklik dengan melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri
masing-masing.
Lafaz bai’ah atau sumpah taat setia dibuat setiap wakil rakyat PAS
Kelantan sejak 2004 dan dipersetujui di hadapan Pesuruhjaya PAS negeri
ketika itu, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan