PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memaklumkan pihaknya
belum lagi menerima laporan terbaru berkenaan Jawatankuasa Eksekutif
Pusat (CEC) DAP yang selesai pemilihannya Ahad lalu.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarahnya, Surayati Ibrahim di sidang media RoS di ibu pejabatnya, petang tadi.
“Saya belum menerima apa-apa laporan daripada DAP,” katanya ringkas.
DAP pada 12 November lalu mengadakan pemilihan kali ketiga selepas RoS
enggan mengiktiraf CEC parti itu yang diadakan pada 2012 dan 2013.
Untuk rekod pada pemilihan CEC tahun 2012, berlaku kesilapan dalam
cetakan 'spreadsheet' yang menyebabkan parti itu diancam untuk tidak
dibenarkan menggunakan simbol roket dalam Pilihan Raya Umum ke-13 pada
2013.
RoS kemudiannya mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan CEC, dan
parti itu akur dengan gesaan itu dengan mengadakan proses itu sekali
lagi pada 29 September 2013.
Selepas empat tahun, RoS sekali lagi memberi notis pada 7 Julai lalu
yang meminta DAP mengadakan pemilihan CEC atas alasan keputusan
pemilihan ahli dan pemegang utama jawatan DAP pada 29 September 2013 itu
tidak sah.
Bekas Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata,
pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama
perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP
bertarikh 15 Disember 2012, yang melibatkan seramai 2,576 perwakilan
dari 865 cawangan.
Mohamad Razin berkata pemilihan semula CEC yang baru adalah perlu bagi
memilih 20 orang anggota yang sah berpandukan kepada Akta Pertubuhan
1966 dan Perlembagaan Parti DAP untuk membolehkan pemilihan itu
diiktiraf RoS.
Permohonan PH sedang diproses
Sementara itu Surayati dalam sidang media yang sama memberitahu RoS masih memproses pendaftaran Pakatan Harapan (PH).
“PH belum ada lagi (pengesahan pendaftaran),” ujarnya.
Untuk rekod PH memohon kepada RoS untuk didaftarkan sebagai sebuah gabungan parti-parti politik pada 28 Julai lalu.
RoS menolak permohonan itu dan meminta PH membuat beberapa perubahan berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan.
PH juga menghantar beberapa logo baru yang menepati kehendak RoS namun
gabungan pembangkang itu sehingga kini masih belum mendapat sebarang
maklum balas.
Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa memberitahu pihaknya
mahu mengunjungi Kementerian Dalam Negeri bagi mendapatkan penjelasan
mengapa pendaftaran gabungan pembangkang itu masih tertangguh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan