KOTA BHARU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdullah Ya’kub
mempertahankan tindakan beliau mengarahkan Ketua Pembangkang, Datuk
Nozula Mat Diah keluar dari dewan hari ini.
Abdullah berkata, Nozula meminta ruang untuk berucap sehingga
mengganggu persidangan sedangkan aturan dewan menetapkan sesi perbahasan
sudah berakhir semalam dan hari ini diteruskan dengan sesi penggulungan
oleh kerajaan negeri.
Memetik laporan Utusan Malaysia, beliau turut menafikan tidak memberi
ruang secukupnya kepada wakil rakyat pembangkang untuk menyertai
perbahasan dan melontarkan pandangan sepanjang persidangan DUN kali ini.
“Saya nak berlaku adil dalam dewan, sebab itu saya beri peluang
sepenuhnya kepada semua ahli dewan berucap. Dalam sesi bahas semalam, 10
ahli dewan berucap iaitu empat wakil pembangkang dan enam kerajaan.
“Kalau ikut nisbah kita ada 45 ADUN, hanya 14 sahaja pembangkang tapi
saya tetap beri peluang empat wakil pembangkang untuk berucap,” katanya
ketika ditemui ketika sidang DUN Kelantan berehat hari ini.
Sidang DUN Kelantan hari ini kecoh seketika selepas Abdullah
mengarahkan ADUN Paloh itu keluar dewan kerana dianggap melanggar
peraturan apabila mengganggu sesi penggulungan walaupun telah diberi
amaran beberapa kali.
Arahan itu menyebabkan Nozula sebak dan mengalirkan air mata kerana
mendakwa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak diberi ruang
secukupnya untuk bersuara dalam persidangan dewan kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan