SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akur dengan arahan
Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk tidak menggunakan nama Armada
bagi sayap pemudanya.
Setiausaha Agung PPBM Datuk Shahruddin Md Salleh berkata, arahan telah
dikeluarkan kepada pimpinan dan ahli di setiap peringkat agar
menggunakan nama Pemuda PPBM sehingga pindaan perlembagaan parti
diluluskan RoS.
“Oleh kerana pindaan perlembagaan PPBM (BERSATU) masih dalam
pertimbangan pihak ROS, PPBM akur bahawa nama Pemuda PPBM yang termaktub
dalam perlembagaan parti hendaklah digunapakai buat masa ini," katanya
dalam satu kenyataan.
RoS pada 9 November lalu memberi amaran bahawa parti itu boleh
diharamkan jika terus menggunakan nama Armada untuk pergerakan
pemudanya.
Armada adalah singkatan kepada perkataan Angkatan Bersatu Anak Muda.
Menurut ROS, istilah Armada untuk jawatankuasa Pemuda PPBM tidak pernah
diluluskan dalam perlembagaan parti teraju Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
Dalam pada itu, jelas Shahruddin, pemilihan nama Armada adalah bertujuan untuk menarik golongan muda.
ADUN Jorak itu juga menjelaskan telah memberikan penjelasan kepada RoS berhubung beberapa aduan terhadap parti.
“Saya sendiri telah hadir ke ibu pejabat ROS di Putrajaya pada 14
November 2017 untuk memberi keterangan kepada pegawai ROS dalam membantu
siasatan berhubung aduan-aduan ini.
“Saya juga telah mendapatkan nasihat pakar undang-undang mengenai
aduan-aduan tersebut dan percaya tiada pelanggaran terhadap perlembagaan
parti dan undang-undang telah dibuat oleh PPBM dalam perjalanan
pengurusan dan pentadbiran parti seperti yang didakwa oleh beberapa
pihak," katanya.
Sementara itu, Shahruddin juga berkata mereka telah memohon lanjutan
masa ke tahun depan untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan
memandangkan PPBM masih dalam proses menubuhkan cawangan di seluruh
negara.
Penangguhan itu, katanya, telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada 26 Julai lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan