PETALING JAYA: Jemaah sebuah surau di Damansara Damai, di sini,
terselamat apabila satu bom petrol (molotov cocktail) yang dicampakkan
ke dalam kawasan surau ketika mereka sedang menunaikan solat Subuh, pagi
kelmarin, tidak meletup.
Kejadian disedari pada jam 6.15 pagi selepas oleh salah seorang dari 20
jemaah Surau Al-Huda, yang baru selesai menunaikan solat Subuh, melihat
kesan terbakar pada pintu masuk surau berkenaan.
Ahli Jawatankuasa Surau berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia
kemudian memanggil jemaah lain untuk membantu memadamkan kebakaran
akibat bom petrol yang dicampakkan itu.
"Kami bernasib baik kerana botol arak mengandungi minyak tanah dan kain
bersumbu yang diubahsuai menjadi bom petrol tidak meletup.
"Bayangkan kalau betul-betul letupan terjadi mungkin akan mengakibatkan
kecederaan atau kematian," katanya seperti yang dilapor BH Online.
Katanya berdasarkan maklumat dari saksi, terdapat kelibat dua lelaki
yang dipercayai berada di luar kawasan surau semasa kejadian berlaku dan
membaling bom petrol berkenaan, namun botol itu tidak pecah.
"Pada masa ini kami sudah maklumkan semua maklumat yang ada kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya.
Dia juga tidak tahu sekiranya kejadian berkenaan mempunyai kaitan
dengan masalah penduduk berhubung pembinaan sebuah kuil di Jalan
PJU10/1F.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner
Mohd Zani Che Din, berkata pihaknya mengesahkan kejadian berkenaan dan
siasatan lanjut sedang dilakukan.
"Pada masa ini kita masih meneliti laporan oleh saksi dan jemaah surau
berkenaan dan mengklasifikasikan kes berkenaan mengikut Seksyen 435
Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan