LAHAD DATU: Dua maut selepas sebuah kereta Perodua Alza dihimpit lori
treler dalam kemalangan di Batu 11, Jalan Segama, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa membabitkan seorang
pemandu lelaki dan seorang penumpang wanita maut akibat tersepit.
Dua mangsa terbabit yang identiti mereka belum dikenal pasti menaiki
Perodua Alza dan dikatakan dalam perjalanan ke arah Kota Kinabalu,
manakala lori treler dari arah bertentangan.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat
Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata bomba menerima
panggilan pada jam 11.47 pagi dan menghantar enam anggota dari Balai
Bomba dan Penyelamat Lahad Datu bersama sebuah jentera.
Katanya, mangsa pertama iaitu pemandu hanya dapat dikeluarkan pada jam
1.40 tengah hari, disusuli mangsa wanita yang duduk di bahagian
penumpang hadapan pada jam 2 petang.
"Anggota bomba terpaksa menunggu lori treler dialihkan, sebelum boleh mengeluarkan dua mangsa yang tersepit," katanya.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh
pegawai perubatan yang berada di lokasi dan diserahkan kepada polis
untuk tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan