Ahad, 8 Oktober 2017

Rafizi mahu PM bentang kertas putih pembelian pesawat

AKHBAR RAKYAT



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli akan kemukakan usul kepada Dewan Rakyat supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan kertas putih berhubung cadangan Penerbangan Malaysia Berhad (MAB) untuk menggunakan RM50 bilion bagi pembelian pesawat baharu.

Naib presiden PKR itu berkata, pembentangan kertas putih itu perlu dilakukan supaya dana RM50 bilion yang bakal dibelanjakan MAB tidak sia-sia.

“Saya akan menghantar satu usul ke Parlimen bagi sidang dewan akan datang supaya satu kertas putih dibentangkan oleh Najib untuk menerangkan bagaimana Khazanah dan MAB bercadang memastikan perbelanjaan RM50 bilion ini tidak sia-sia,” kata Rafizi pada sidang media hari ini.
Rafizi bagaimanapun yakin Najib tidak akan melakukan perkara itu.

“Saya akan hantar usul itu walaupun besar kemungkinan Najib tidak berani bentangkannya di Parlimen,” katanya.

Rafizi tidak menghalang sebarang pelan perniagaan MAB, namun beliau bimbang kerana dana besar itu wang rakyat.

“Saya bukanlah mahu menghalang atau mempolitikkan pelan perniagaan MAB, bagaimanapun, sebarang keputusan MAB yang membabitkan perbelanjaan besar adalah isu awam yang mesti dikaji oleh ahli Parlimen seperti saya.


“MAS kini dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Malaysia melalui Khazanah Nasional Berhad, iaitu badan pelaburan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan,” kata Rafizi.

Sehubungan itu, sebarang perbelanjaan besar oleh MAB akan menggunakan dana Khazanah dan itu merupakan satu pelaburan awam, katanya.

Rafizi menyeru agar pengurusan Khazanah dan MAB mengesahkan secara rasmi cadangan membeli 75 pesawat baharu yang menelan belanja sehingga RM50 bilion dalam masa 2 tahun ini.

“Samalah seperti dana awam digunakan dalam 1MDB dan pelaburan lain sebelum ini.

“Rakyat berhak tahu, sebarang perbelanjaan besar akan mendatangkan pulangan,” katanya.

Selain itu, Rafizi berkata, sebarang usaha pengembangan MAB perlu mengutamakan 6,000 bekas kakitangannya yang diberhentikan dalam pelan rasionalisasi sebelum ini.

“Pelan rasionalisasi MAB sebelum ini menyaksikan seramai 6,000 orang kakitangan MAS hilang pekerjaan atas alasan saiz MAB terlampau besar dan kakitangannya terlalu ramai.

“Kerajaan kemudiannya membentangkan satu akta khas membolehkan MAB dikecilkan sehingga menyebabkan 6,000 orang kakitangan MAB kehilangan pekerjaan.

“Oleh itu, sebarang pelan perniagaan baru melibatkan penambahan saiz operasi MAB secara besar-besaran perlu berlaku adil kepada pekerja MAS yang dibuang kerja,” katanya.

Tiada ulasan: