KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan saman
yang difailkan oleh Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah terhadap
ketua gerakan Baju Merah Jamal Yunos.
Peguam N.Surendran yang mewakili Maria berkata hakim menangguhkan kes
itu ke 15 hingga 19 Januari 2018 berikutan terdapat perkara lain yang
lebih penting.
"Terdapat kes yang lebih penting, itu sebabnya hakim menangguhkannya.
Kami telah dapatkan tarikh yang ditetapkan hakim tahun depan," katanya
ketika ditemui di luar mahkamah.
Maria memfailkan saman terhadap Jamal kerana menuduh Bersih mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS.
Katanya, dia menerima tarikh berkenaan dan menantikan perbicaraan itu.
"Sebab tindakan mahkamah ini bukan kerana Merah dan Kuning, ia
sebenarnya untuk membersihkan nama gerakan kami dan membuktikan tuduhan
terhadap Bersih adalah salah.
"Agenda Bersih ialah untuk pilihan raya yang bersih dan adil dan demokrasi untuk masa depan kita.
"Hanya itu agenda yang kita ada dan kita menentang keganasan serta ancaman yang dibuat terhadap rakyat," katanya.
Surendran berkata Maria memfailkan saman keranan dakwaan Bersih sudah
ditembusi oleh IS dan dakwaan lain yang akan mengelilingi kawasan
tumpuan seperti lapangan terbang.
"Kerana dakwaan itulah Maria memfailkan saman kerana katanya dakwaan itu tidak benar," katanya.
Surendran juga berkata saena turut dikeluarkan terhadap ketua de facto pembangkang Anwar Ibrahim untuk hadir ke mahkamah.
"'Order To Produce masih belum siap, tetapi penjara sudah membawanya
hari ini. Ia hanya untuk selesaikan kertas kerja," katanya.
Peguam Mohamed Nasser Yusof yang mewakili Jamal berkata pihaknya sudah
menghantar sepina kepada beberapa individu untuk membantu siasatan.
"Sepina sudah dihantar kepada Dr Mahathir Mohamad kerana beliau membuat
kenyataan bahawa Bersih merupakan organisasi ganas. Kami juga mahu tahu
mengapa Dr Mahathir menahan suami Maria di bawah Akta Keselamatan Dalam
Negeri 1987 (ISA). Dia (suami Maria) merupakan ahli Gerakan Pembebasan
Palestin (PLO). Ia agak relevan kerana kes kita di sini berkait dengan
IS.
"Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun juga kerana beliau adalah bekas
pengarah cawangan khas dan bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar
kerana beliau adalah ketua ketika perhimpunan Bersih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan