Isnin, 9 Oktober 2017

Mahkamah arah pemaju senarai 135 penduduk Padang Jawa setuju pindah

 
Pemaju hartanah, Ehsan Bina Sdn Bhd dan pengarahnya menyaman kumpulan penduduk itu, selepas gagal mendapatkan perintah mahkamah untuk mengusir mereka daripada menduduki tanah berkenaan secara haram.


protes-rumah-ganti-shah-alam-1

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan peguam sebuah pemaju hartanah menyenaraikan butiran terperinci 135 penduduk yang didakwa bersetuju berpindah dari Padang Jawa, Klang yang diduduki secara haram.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Roslan Abu Bakar berkata, peguam defendan perlu menyenaraikan nama dan butiran lengkap semua 135 penduduk terbabit.

Beliau menetapkan 24 Oktober ini untuk pengurusan kes itu.

Ehsan Bina Sdn Bhd dan pengarahnya bertindak menyaman kumpulan penduduk itu, selepas gagal mendapatkan perintah mahkamah untuk mengusir mereka daripada menduduki tanah berkenaan.

Ehsan Bina bagaimanapun kalah dalam percubaan mengusir penduduk berkenaan selepas dinafikan kebenaran untuk merayu kes mereka kepada Mahkamah Persekutuan pada 7 Mac lalu.

Dalam tuntutan mahkamah yang difailkan Mei lalu, Ehsan Bina dan pengarahnya, Koi Choor Koon mendakwa mereka membeli tanah itu pada 2012.
  Syarikat itu menyenaraikan nama 20 penduduk dalam tuntutan mahkamah itu sebagai defendan, dan penduduk lain yang tidak dinamakan.

Bagaimanapun, 15 daripada penduduk yang dinamakan itu bertegas tuntutan itu “tidak jelas” kerana Ehsan Bina tidak menyatakan jumlah penduduk yang tidak dinamakan secara spesifik.

Pada 15 September lalu, wakil penduduk terbabit, Azman Mohd Taib berkata, mereka sudah menghuni tanah itu lebih 40 tahun.

“Sebelum ini penduduk bukan rela hati menandatangan (persetujuan untuk berpindah) dan hanya peroleh RM7,000 sebagai pampasan,” dakwanya.

Penduduk terbabit mendakwa mereka diugut dengan tindakan undang-undang jika enggan bersetuju dengan tawaran syarikat itu.

Tiada ulasan: