Ahad, 8 Oktober 2017

PAS mampu pimpin negara ikut kontrak sosial berlandaskan Islam - Hadi

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti pimpinannya mampu memimpin Malaysia berbekalkan kontrak sosial yang sedia ada dengan penafsiran Islam yang sebenar.
 
Merujuk kontrak sosial sebagai Perlembagaan Persekutuan, Hadi mengajak rakyat supaya menolak mana-mana parti dan sesiapa sahaja yang mahu merungkai asas Perlembagaan Persekutuan negara.
 
Kontrak sosial merujuk kepada perjanjian yang dibuat oleh para pengasas kemerdekaan negara dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan 1957, merupakan satu persemuafakatan dan perkongsian antara kaum di Malaysia.
 
"PAS menganggapnya sebagai pengkhianat negara yang wajib disingkirkan oleh rakyat, sama ada melalui pilihan raya atau tindakan undang-undang yang berani, demi menyelamatkan negara dan rakyat," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Harakahdaily.
 
Dalam masa yang sama Hadi berkata Islam menolak teori sekularisma, Malaysian Malaysia dan cauvinis perkauman tanpa menafikan wujudnya kehidupan duniawi.
 
Beliau bagaimanapun tidak menyebut secara jelas pihak yang disasarkan namun dipercayai ia merujuk kepada DAP, parti yang dilabel sebagai chauvinis sejak sekian lama. 
 
"Adanya kaum dan sifat kasih tehadap kaumnya adalah naluri kemanusiaan, namun sikap cauvinis boleh mencetuskan pertembungan di antara kaum, sehingga boleh merosakkan konsep Masyarakat Madani yang saksama dan menjadi naluri manusia," katanya.
 
Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, sungguhpun pentadbiran negara kini mempunyai kelemahan dalam pengurusan atau bersifat penyelewengan, namun PAS enggan bertindak secara membabi buta.
 
"PAS menolak tindakan membakar kelambu kerana marahkan nyamuk. Sepatutnya Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 jangan diulang lagi, begitu juga ruang campurtangan asing yang berlaku di negara lain oleh pihak yang menjemput mereka hendaklah dihalang lebih awal.
 
"PAS boleh bersabar lebih daripada setengah abad sejak negara mencapai kemerdekaan, walaupun dalam keadaan pasang sehingga berjaya memerintah negeri dan penah menyertai kerajaan pusat dan paling surut sehingga ditendang keluar daripada kerajaan dan jatuh kerajaan negeri dan tinggal satu kerusi di Parlimen laksana bertongkat paruh sahaja, namun semangat PAS seluruhnya terus mara bersama Islam," katanya lagi.    
 
PAS pada ketika ini bergerak menerusi blok yang diasaskan dikenali sebagai Gagasan Sejahtera (GAGASAN) bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).
 
Parti itu enggan menyertai Pakatan Harapan (PH) bersama parti pembangkang lain selepas terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) pada 2015, ekoran perselisihan pandangan dengan DAP dan Amanah, dua parti komponen gabungan itu.
 
 

Tiada ulasan: