Ahad, 8 Oktober 2017

Kesediaan MIC bincang pertukaran kerusi petanda baik kemenangan BN - MyPPP

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP), Tan Sri M. Kayveas menyambut baik kesediaan MIC selepas parti itu menyatakan kesediaannya untuk berbincang mengenai pertukaran kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
 
"MyPPP boleh berbincang dengan MIC. Sebenarnya saya faham dengan kedudukan beliau (Presiden MIC), beliau tak boleh kurang (kerusi) jika tidak beliau kena menjawab kepada ahli-ahli parti.
 
"Tetapi dalam masa kita berbincang itu nanti, kita serahkan kepada masa. Mungkin beliau akan dapat tambahan kerusi Senator di parlimen, atau mungkin juga dapat jawatan," katanya selepas melancarkan Karnival Sukan Piala-piala Tan Sri M Kayveas di Cameron Highland, hari ini.
 
Respon itu menyusul selepas Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam pada semalam bersedia mengadakan perbincangan sesama parti komponan Barisan Nasional (BN) untuk bertukar kerusi pada PRU14 nanti.
 
Bagaimanapun beliau menetapkan syarat supaya komposisi kerusi parti itu dikekalkan kepada sembilan kerusi parlimen dan 19 kerusi DUN sebagaimana yang ditandingan MIC pada pilihan raya yang lalu.
 
Subramaniam menegaskan jika komposisi kerusi itu berubah, ia dikhuatiri akan memberi kesan kepada sistem dan tradisi yang diamalkan BN sejak dari dahulu.
 
Sebelum ini Kayveas menyatakan hasrat mahu bertanding di Cameron Highlands, kerusi yang kini disandang oleh Datuk Seri Dr G. Palanivel, yang juga merupakan bekas Presiden MIC.
 
Namun hasrat itu ditolak MIC dengan menegaskan ia akan tetap bertanding di kerusi berkenaan.
 
Kayveas dalam pada itu mengingatkan pemimpin parti-parti komponen BN untuk saling berkongsi kuasa sekiranya gabungan itu mahu terus menang pada PRU14.
 
"Yang penting untuk BN adalah kongsi kuasa. Semua orang akan dapat juga. Bukan semua akan dapat semua (kuasa). Ini mesti diamalkan. Jika tak beri peluang kepada parti mungkin sokongan kepada parti tertentu tidak dapat.
 
"Kita perlu ada formula yang boleh beri kemenangan kepada BN di mana-mana kerusi," tegasnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: