PUTRAJAYA: Empat keterangan individu sudah diambil Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pembayaran RM16 juta
yang dilakukan Menteri Besar Incorporated (MBI) kepada syarikat
kontraktor, Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata
siasatan terhadap dakwaan itu bermula sejak dua hari lalu dan pihaknya
masih mengumpul keterangan dari saksi-saksi berkaitan.
Siasatan terhadap MBI juga dilakukan berdasarkan kepada aduan yang diterima SPRM.
"Bila kita siasat bermakna ada aduan diterima," katanya kepada
pemberita diminta mengulas mengenai siasatan SPRM ke atas MBI selepas
upacara menaikkan bendera SPRM di bangunan baharu SPRM di Presint 7 di
Putrajaya hari ini.
Selasa lalu SPRM membuat serbuan terhadap Unisel Shah Alam, Unisel
Bestari Jaya, Pejabat Menteri Besar Incorporated (MBI) dan pejabat
operasi JNSB.
Sebelum ini satu gesaan dibuat Pemuda Umno Kelana Jaya kepada SPRM
untuk menyiasat Azmin berhubung bayaran RM16 juta yang dikatakan diberi
kepada kontraktor Unisel yang ditamatkan perkhidmatannya.
Bayaran itu dikatakan dilulus oleh Pendidikan Industri YS Sdn Bhd yang
dipengerusikan Azmin kepada JNSB pada 9 Mac 2015 dan 24 Jun 2016.
Bagaimanapun MBI mendakwa bayaran berkenaan dibuat kepada JNSB mengikut keputusan timbang tara mahkamah.
MBI bagaimanapun pada 25 Julai lalu berkata tidak teragak-agak untuk
mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mendakwanya
terbabit dengan rasuah berkaitan pembayaran kepada JNSB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan