Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Disebalik kemelut yang melanda PKR Kelantan, pemimpin PAS
negeri itu tampil menyarankan lantikan politik parti pimpinan Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk terus komited melaksanakan mandat
dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas.
Yang Dipertua PAS Tanah Merah, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata
mandat yang telah dimenangi tersebut haruslah dijayakan dan
diperkukuhkan sehingga berakhirnya penggal pada PRU yang bakal menjelang
pada bila-bila masa.
"Bagi saya, kita nak buat kerja sahaja sekarang. Kita nak kena jadi isu itu sudah selesai, itu dalaman parti kita tidak komen.
"Saya tidak boleh komen sebab itu hal atau isu parti masing-masing. Apa
yang kita ada ialah kita masih berpegang kepada keputusan kita dahulu.
Pelantikan kita teruskan sampai pilihanraya. Itu sahaja.
"Yang kita mahu adalah tugas yang dipertanggungjawabkan ini dapat
dijalankan dengan sebaik mungkin," katanya kepada Antarapos hari ini.
Susulan keputusan PKR untuk mengekalkan lantikan politiknya di negeri
Che Siti Wan Kembang itu, namun kini timbul pula kemelut lain.
Baru-baru ini, muncul dakwaan bahawa ada anggota peringkat akar umbi
PKR di negeri itu mendesak kepimpinan pusat menggantikan Pengerusinya
Abdul Aziz Abdul Kadir sebagai pemimpin di Kelantan.
Desakan itu timbul selepas Abdul Aziz yang dilihat lebih cenderung mahu
kembali bekerjasama dengan PAS, tetapi mendapat tentangan daripada
beberapa pemimpin parti itu yang lain, termasuk dalam kalangan akar
umbi.
Susulan itu, akar umbi PKR negeri itu bertindak menyerahkan memorandum
menyatakan anggota parti tidak lagi meyakini sebahagian besar pimpinan
MPN, kegagalan menguruskan isu peletakan jawatan lantikan politik dan
kedudukan PKR yang tidak diperkukuhkan di Kelantan.
Malah, memorandum itu dilaporkan turut menyenaraikan sepuluh kegagalan
Abdul Aziz dan tiga alasan mengapa dia harus melepaskan jawatannya.
Walau bagaimanapun, memorandum yang dikatakan tersebar melalui aplikasi
Whatsapp dan media sosial lain itu dinafikan Ketua Komunikasi PKR
Kelantan Mohd Sukirman Mustafa.
Selain kepimpinan tertinggi negeri berdepan dengan konflik, sayap
pemudanya juga mengalami nasib yang sama apabila ada desakan daripada
Jawatankuasa AMK Kelantan yang mahu Ketuanya, Dr. Mohd. Hafidz Rizal
Amran meletak jawatan akibat kehilangan sokongan akar umbi.
Naib Ketua AMK negeri, Mohd. Khairul Amin Abdul Rahman berkata,
majoriti Ketua AMK Cabang turut menandatangani satu memorandum kepada
pucuk pimpinan pusat supaya Mohd. Hafidz Rizal dilucutkan daripada
jawatan tersebut.
Dikatakan, desakan terbabit dibuat apabila Ketua AMK Kelantan itu
dilihat menjadi antara pimpinan negeri yang menyokong kuat hasrat Abdul
Aziz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan