shahbudindotcom
Di
sebalik saman sivil dan siasatan jenayah DOJ berhubung penyelewengan
dana 1MDB yang masih lagi berjalan dan tidak pernah dihentikan, Najib
Razak mungkin berasa paling bangga menerima jemputan melawat Amerika
Syarikat pada 10 hingga 12 September depan.
Dari
segi politik dalaman Malaysia, lebih-lebih lagi berdepan PRU 14 paling
mencabar baginya, setidak-tidaknya undangan Donald Trump itu membuatkan
Najib dapat membuktikan kepada pengundi luar bandar dan rakyat Malaysia
bahawa beliau bukanlah buruan DOJ dalam penyiasatan mereka.
Jentera
propaganda Najib, pastinya akan mengulang-ulang dengan gembira perkara
itu seolah-olah kemenangan sudah berada di ambang mata.
Jika
sebelum ini Najib sudah agak lama tidak ke Amerika, begitu juga Rosmah
sekian lama tidak membeli-belah di sana, lawatan ini pasti digunakan
dengan sebaik mungkin untuk menafikan segala gambaran buruk itu.
Soal
bahawa saman DOJ masih lagi berjalan tidaklah perlu diheboh-hebohkan
kerana orang kampung mungkin terlalu sukar memahaminya.
Kaitan Najib dengan skandal 1MDB dan hubungan beliau dengan Jho Low juga barangkali tidak penting bagi mereka.
Yang
mustahak ialah Najib diperlihatkan boleh pergi ke Amerika dan tidak
ditangkap ketika di sana. Malah beliau akan bertemu dan bebas mengadakan
perbincangan dengan Presiden Amerika yang baru, Donald Trump.
Tetapi,
lawatan Najib kali ini tentu saja berbeza dengan beberapa kunjungannya
sebelum ini. Selain media-media Amerika menggambarkan kunjungan dan
perjumpaan Najib dengan Trump akan digunakan sebagai peluang untuk
menyelesaikan saman dan siasatan DOJ berkaitan 1MDB, wajah Najib juga
diberi gambaran yang jauh berbeza.
Najib
juga tidak lagi sekadar disebut sebagai Perdana Menteri Malaysia,
tetapi mereka terang-terang melabelkan Najib sebagai pemimpin yang
terpalit dengan skandal kewangan berbilion ringgit berkaitan 1MDB.
Tidakkah
itu suatu gambaran yang amat buruk kepada Najib sebelum kedatangannya
ke Amerika, baik dari segi tujuan atau wajahnya sendiri?
Dengan gambaran sedemikian, selesakah Najib dalam lawatannya kali ini?
Bagaimanakah penerimaan media, pegawai tinggi kerajaan Amerika dan Trump sendiri terhadapnya?
Jika
ada sidang media dan Najib diasak dengan pelbagai soalan berkaitan
hubungannya dengan Jho Low, kekayaan anak tirinya Riza Aziz, wang AS$731
juta dalam akaun peribadi "Malaysian Official 1" dan barangan kemas
berjumlah AS$28.6 juta yang diterima oleh "isteri Malaysian Official 1",
mampukah beliau menjelaskannya dengan wajah tidak bersalah?
Meskipun
tidak disebut secara spesifik, DOJ jelas mengatakan wang dan hadiah
barang kemas itu adalah bersumberkan daripada dana 1MDB yang
diselewengkan dan sudah pasti media-media Amerika akan mengasak Najib
dengan soalan-soalan panas dan ganas mengenainya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan