Selasa, 29 Ogos 2017

Pakatan Harapan Tolak Kerjasama Dengan PAS, Sedia Lawan 3 Penjuru PRU14





Pakatan Harapan (PH) bersetuju menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan bersedia untuk berdepan dengan pertembungan tiga penjuru pada PRU14 akan datang.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Presiden malam tadi.

“PH tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam PRU14.

“PH sedang merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU14,” kata Dr Mahathir dalam satu kenyataan malam ini, lapor The Malaysia Insight.

Kenyataan itu turut ditandatangani Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga menteri besar Selangor bagaimanapun tidak hadir dalam mesyuarat itu.

Sebelum itu, The Malaysia Insight melaporkan kenyataan Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng yang berkata PH tidak akan berkempen untuk kerusi PKR yang berkongsi dengan PAS.

“PKR mempunyai hak untuk bekerjasama dengan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi menentang kerusi Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Sekiranya PKR berhasrat berunding kerusi dengan PAS, ia boleh memberikan beberapa kerusi kepada PAS kerana ia adalah hak mereka untuk berbuat demikian.

“Jika itu berlaku, PH tidak akan membantu dalam berkempen kerusi yang secara tradisinya ditandingi PKR tetapi diberikan kepada PAS pada PRU14,” kata ahli Parlimen Segambut itu.

Beliau berkata Azmin perlu mengetahui bahawa PH tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk rundingan kerusi dengan PAS.

“Walaupun hak PKR untuk meneruskan mendapatkan kerjasama PAS, yang berulang kali menolak, ia menjadi hak PH sebagai gabungan untuk menolak cadangan PKR, jika ada, sebarang kerjasama PH dengan PAS dalam pilihan raya akan datang,” katanya dalam kenyataannya.

Beliau juga berkata PKR kehilangan undi daripada orang Islam dan penganut Kristian dari Malaysia Timur serta penyokong PH lain kerana mereka tidak bersetuju dengan kerjasama antara PKR dan PAS.

“Sekiranya kerusi ini hilang, PKR tidak seharusnya menyalahkan parti komponen lain di PH kerana tidak berkempen untuk calon PKR kerana PH juga tidak bersetuju dengan pakatan PKR-PAS,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: