Jumaat, 25 Ogos 2017

PAU tangguh jika PRU14 diumumkan - Najib

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh diadakan pada bila-bila masa, walaupun Perhimpunan Agung Umno (PAU) telah ditetapkan pada 5 hingga 9 Disember ini.
 
Malah katanya lagi, tidak mustahil PAU pada tahun ini  boleh ditangguhkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya.

"Kita masih dalam proses. Pilihan Raya Umum (PRU) akan berlaku pada bila-bila masa.

"Malah tarikh Perhimpunan Agung Umno (PAU) ini, kalau ada pilihanraya kita tangguh sahaja," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di ibu pejabat parti di Menara Dato' Onn,  di sini.

Perdana Menteri berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berhubung senarai calonnya bagi gabungan itu yang telah diserahkan ke peringkat kepimpinan tertinggi.

Ujar Presiden Umno itu lagi, gabungan itu kini dalam proses akhir pemilihan senarai calon yang bakal bertanding mewakili Umno-Barisan Nasional (BN) pada PRU14 akan datang.

Dalam sidang media yang sama, Najib turut memberitahu PAU2017 akan dimulakan dengan taklimat presiden pada 5 Disember, diikuti perasmian sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada sebelah malam.

Manakala persidangan sayap parti akan diadakan pada 6 Disember diikuti mesyuarat Majlis Tertinggi pada malamnya.

Persidangan penuh pula akan diadakan pada 7 hingga 9 Disember.

Tiada ulasan: