Khamis, 31 Ogos 2017

Azmin akur henti rundingan dengan PAS, kemelut dalam PKR mungkin selesai - penganalisis

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kemelut yang melanda kepimpinan PKR bersabit kerjasama parti itu dengan PAS berkemungkinan dianggap sebagai selesai selepas Datuk Seri Azmin Ali akur dengan keputusan Pakatan Harapan (PH).
 
Sehubungan itu penganalisis politik Prof Dr Fuad Mat Jali menegaskan bukan sahaja para pemimpin dalam PKR perlu berlapang dada menerima keputusan muktamad ini tetapi akar umbi juga perlu bersama-sama dalam perkara ini.
 
"Jadi oleh kerana sudah berlaku penjelasan daripada Azmin, saya rasa mungkin (Naib Presiden) Rafizi (Ramli) menerima hakikatnyalah dan mula membincangkan perkara-perkara lain. 
 
"Tidak lagi cakap kerjasama dengan PAS, bila Azmin bertegas begitu (jadi) Rafizi kena akur dan akar umbi melihat benda ni dah diselesaikan dengan ketegasan," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Malam Isnin lalu, mesyuarat Majlis Presiden PH memutuskan bahawa tiada kerjasama akan dijalinkan dengan PAS, selain menegaskan sedang merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru pada PRU14. 
 
Susulan itu, Timbalan Presiden PKR malam tadi memberitahu media bahawa PKR akan menuruti arahan yang diputuskan PH.
 
Ketika ditanya mengenai wujudnya dua kumpulan dalam PKR mengenai kerjasama PAS ini, Fuad berkata ia lebih kepada salah faham antara pemimpin tertinggi parti itu.
 
"Dia bukan ada dua kumpulan tapi perselisihan faham, Rafizi mahu selesaikan masalah kalau dulu katakan PAS tidak mahu buat apa benda ni perlu dirundingkan lagi. Azmin pula melihat bahawa PAS ini adalah satu aset bagi beliau dalam mempertahankan Selangor," katanya.
 
Minggu lalu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan, PKR kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu yang pertama berpendirian keutamaan parti adalah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor meskipun perlu berunding dan bekerjasama dengan PAS.
 
Manakala kumpulan kedua pula bertegas mahu PKR komited bersama DAP, Amanah dan PPBM sahaja dalam PH menghadapi PRU14.
 
Mengulas lanjut, Fuad tidak menolak wujudnya penyokong atas pagar dalam PH ekoran ada pihak yang masih lagi menyokong PAS.
 
"PKR akar umbi mungkin akan ada separuh mereka berada di atas pagar (yang) mana nak ikut, samada mahu bersatu dengan DAP, Amanah atau mereka pergi ke PAS (kerana) ada yang menyokong PAS dahulu," katanya.
 
Tambah beliau lagi, sukar untuk menjangkakan berapa lama pendirian ini boleh bertahan kerana dalam dunia politik ini apa saja boleh berlaku menjelang pilihan raya akan datang.
 
"(Tapi) benda politik ni tak boleh dijangka, apa pun boleh berlaku masa PRU (cuma) saya melihat dan yakin PAS tidak akan berpatah balik dan (teruskan) bertanding sendirian," ujarnya

Tiada ulasan: