Selasa, 29 Ogos 2017

Pakatan tolak kerjasama dengan PAS, sedia lawan 3 penjuru PRU14

 
 
Oleh

PAKATAN Harapan (PH) bersetuju menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan bersedia untuk berdepan dengan pertembungan tiga penjuru pada PRU14 akan datang.

Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Presiden malam tadi.

"PH tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam PRU14.

"PH sedang merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU14," kata Dr Mahathir dalam satu kenyataan malam ini.

Kenyataan itu turut ditandatangani Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Pengarah Pilihan Raya PH, Azmin Ali yang juga menteri besar Selangor bagaimanapun tidak hadir dalam mesyuarat itu.

PKR sebelum ini mahu terus bekerjasama dengan PAS terutamanya di Selangor walaupun parti Islam itu memutuskan hubungan dengan mereka pada Mei.

Walaupun memutuskan hubungan dengan PKR, PAS masih terus bersama dengan kerajaan Selangor pimpinan Azmin.

Wan Azizah dan Azmin membuat kejutan apabila melawat Presiden PAS Abdul Hadi Awang di hospital di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selepas itu, Wan Azizah memberitahu media PKR tidak menolak untuk bekerjasama dengan PAS pada PRU14.


Pengumuman Wan Azizah itu menyebabkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR William Leong meletakkan jawatan sebagai anggota Biro Politik parti.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pada Ahad mendesak partinya mengadakan kongres khas dalam isu hubungan bersama PAS.

Azmin semalam menolak keperluan mengadakan kongres khas dan mempersoalkan mengapa Rafizi mendedahkan isu dalaman parti kepada media.

"Itu adalah pandangan peribadi yang tidak dibincangkan oleh parti. Dalam mana-mana organisasi perbezaan pandangan dan pendekatan memang berlaku.

"Namun kepimpinan membawa maksud kita mesti mempunyai keupayaan untuk menguruskan perbezaan pandangan dan pendekatan dengan bijaksana dan tertib.

"Tidak ada keperluan untuk mendedahkan perkara ini kepada media kerana kepimpinan yang ada pada masa ini dipilih oleh akar umbi,maka kita kena beri mandat kepada kepimpinan," katanya kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun hari ini sekumpulan pemimpin akar umbi menyokong desakan Rafizi agar kongres khas diadakan mengatakan isu kerjasama dengan PAS mengelirukan mereka.

Tiada ulasan: