Jumaat, 25 Ogos 2017

Khalid terkejut, kesal Selangor terus bayar Jana Niaga walaupun kontrak tamat

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terkejut dan kesal dengan tindakan penggantinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meneruskan rundingan malah membuat pembayaran jutaan ringgit kepada Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).
 
Tindakan itu bertentangan dengan keputusan yang diambilnya pada 2013 iaitu menghentikan khidmat dan kontrak JNSB selaku kontraktor kepada Universiti Selangor (Unisel).
 
JNSB pada 2003 dilantik kerajaan negeri pimpinan Khalid untuk membina, menjalankan operasi dan menyelenggara dan mengurus kemudahan penginapan pelajar dan kakitangan Unisel.
 
Khalid bagaimanapun memutuskan menamatkan khidmat JNSB selepas prestasi syarikat kontraktor itu begitu mengecewakan.
 
"Saya amat terkejut dan kecewa apabila mendapat tahu bahawa pentadbiran yang saya pernah ketuai sanggup mempertimbangkan cadangan untuk memasuki kontrak-kontrak baru dengan JNSB dan selanjutnya, untuk membayar JNSB, sedangkan Unisel tidak terikat dengan apa-apa tindakan undang-undang.
 
"Perkara ini sedikit sebanyak mencemarkan nama baik institusi-institusi kerajaan negeri dan saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada SPRM jika perlu," kata Khalid dalam satu kenyataannya hari ini.
 
Menerusi kenyataan media itu, Khalid memerincikan kronologi membabitkan JNSB itu.
 
Unisel bertindak menghentikan bayaran kepada JNSB pada 2012 selepas syarikat kontraktor itu gagal menyelenggara asrama Unisel yang membawa kepada pengosongan bangunan itu pada 2013 berikutan ia merisikokan pelajar dan kakitangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) itu.
 
Dalam tempoh itu kerajaan negeri cuba menyelesaikan beberapa perkara berkaitan kontrak dengan JNSB sehingga ia ditamatkan khidmatnya, namun tindakan itu mengundang rasa tidak puas hati kepada kontraktor berkenaan.
 
JNSB kemudiannya membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam namun ia ditangguhkan kerana terdapat klausa timbang tara di dalam kontrak-kontrak, sekaligus pertikaian berkenaan perlu dibawa ke proses timbang tara dan bukannya mahkamah.
 
"JNSB membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Pada 2 Julai 2013 Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan JNSB. Keputusan itu bermakna jika JNSB mahu meneruskan pertikaian tersebut ia perlu dibawa ke timbang tara. Saya difahamkan tiada prosiding timbang tara telah difailkan oleh JNSB terhadap Unisel sehingga ke hari ini.
 
"Sekitar Mac 2014 JNSB telag membawa pertikaian kepada Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian ('Dispute Resolution Committee') yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Selangor.
 
"Namun tiada penyelesaian dicapai sehinggalah saya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar," ujar Khalid.
 
Khalid berkata sepanjang proses rundingan dilakukan beliau konsisten supaya kontrak JNSB ditamatkan, walaupun pelbagai tawaran dibuat termasuk untuk mengambilalih hutang bank JNSB.
 
Respon itu diberikan Khalid sebagai maklum balas terhadap serbuan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Unisel Shah Alam, Unisel Bestari Jaya, Pejabat Menteri Besar Incorporated (MBI) dan pejabat operasi JNSB pada Selasa lepas.
 
Sebelum ini satu gesaan dibuat Pemuda Umno Kelana Jaya kepada SPRM untuk menyiasat Azmin berhubung bayaran RM16 juta yang dikatakan diberi kepada kontraktor Unisel yang ditamatkan perkhidmatannya.
 
Bayaran itu dikatakan dilulus oleh Pendidikan Industri YS Sdn Bhd yang dipengerusikan Azmin kepada JNSB pada 9 Mac 2015 dan 24 Jun 2016.
 
Bagaimanapun MBI mendakwa bayaran berkenaan dibuat kepada JNSB mengikut keputusan timbang tara mahkamah.
 
MBI bagaimanapun pada 25 Julai lalu berkata tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mendakwanya terbabit dengan rasuah berkaitan pembayaran kepada JNSB.
 
 

Tiada ulasan: