Rabu, 30 Ogos 2017

Sukan SEA: Kenapa lantik syarikat kurang pengalaman urus jualan tiket?


Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melantik syarikat tidak berpengalaman untuk mengurus penjualan tiket bagi temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) dipersoal Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

“Pertamanya, kementerian harus menjelaskan syarikat manakah yang diberi konsesi penjualan dan pengurusan tiket?

“Adakah tender terbuka dilakukan, dan apakah asas pemilihan syarikat tersebut apabila jelas mereka kurang berpengalaman dalam acara besar-besaran dan tidak membuat persediaan yang mencukupi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas insiden kekecohan yang tercetus kelmarin ketika sesi penjualan tiket bagi perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia dan Thailand di Shah Alam yang berlangsung semalam.

Ekoran itu, ramai pihak mempersoalkan mengapa pihak pengurusan dan KBS tidak mewujudkan platform atas talian bagi memudahkan penyokong untuk mendapatkan tiket bagi ibu segala acara itu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menerusi laman sosial Twitter semalam, tampil memberikan alasan trafik atas talian yang tinggi sebagai punca.

“Berkenaan isu tiket final bola sepak, kita pada mulanya memang mahu menjual sebahagian tiket melalui online. Itu memang amalan kita sebelum final.

“Bagaimanapun malam semalam (27 Ogos), saya dimaklumkan oleh penyedia kemudahan gerbang pembayaran online bahawa mereka tak dapat menjamin kestabilan proses pembelian kerana jumlah (trafik) yang banyak,” katanya.

Pun begitu, Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP berkata, trafik atas talian yang sesak ekoran permintaan yang tinggi tidak harus dijadikan alasan.

“Hal ini kerana banyak acara lain yang jauh lebih besar, termasuk konsert Ed Sheeran yang bakal berlangsung pada 14 November ini, langsung tidak mengalami masalah walaupun sejumlah 12,000 tiket telah dijual dalam masa 30 minit,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, KBS sebagai pihak bertanggungjawab harus menjelaskan mengenai persoalan yang dibangkitkan beliau mengenai lantikan syarikat bagi pengurusan dan penjualan tiket tersebut.

“Dalam pada itu, kementerian juga harus menjawab sama ada konsesi pengurusan tiket bagi kota sukan bersepadu KL Sports City di Bukit Jalil telah pun dianugerahkan.

“Dan jika ya, kepada syarikat mana. Langkah-langkah harus diambil untuk memastikan kegagalan yang sama tidak berulang,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: