Ahad, 27 Ogos 2017

Penganalisis ramal PKR akan terus pujuk PAS untuk bekerjasama

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik menjangkakan PKR akan terus memujuk PAS untuk mengadakan rundingan kerjasama sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi memastikan kemenangan memihak kepada Pakatan Harapan (PH).
 
Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, ini kerana PKR sedar kerjasama dengan PAS akan mampu membantu mereka untuk meraih kemenangan, selain mengelak pertembungan tiga penjuru.
 
"Walaupun mereka sedar PAS tidak mahu bekerjasama, namun secara praktikal dan realitinya mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka hanya akan menang jika kerjasama itu dibuat.
 
"PKR sedar tanpa kerjasama dengan PAS, mereka akan sukar untuk menang dalam pilihan raya akan datang, apatah lagi bila pertandingan nanti akan berlakunya tiga penjuru," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
 
Beliau berkata demikian mengulas mengenai senario terkini PKR yang dilihat seakan tetap mahu meneruskan rundingan kerjasama dengan PAS walaupun berkali-kali ditolak parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
 
Malah semalam, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali sekali lagi memberi bayangan bahawa parti itu akan mengadakan rundingan dengan PAS berhubung kerjasama di Selangor selepas Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehin Mukhyi mengumumkan bakal bertanding di 42 buah kerusi DUN negeri itu.
 
Isu kerjasama ini kembali hangat selepas tersebarnya gambar kunjungan beliau bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terhadap Presiden PAS baru-baru ini.
 
Malah Wan Azizah juga berkata tidak menolak kemungkinan jalinan kerjasama berikutan membawa misi yang sama dalam kalangan pembangkang iaitu menumbangkan Umno-BN.
 
Mengulas lanjut, Martadha berkata PKR sememangnya sedar bahawa mereka memerlukan PAS terutamanya bagi meraih meraih sokongan pengundi Melayu, lebih-lebih lagi di Selangor.
 
Justeru katanya, atas desakan itu PKR seakan berdegil untuk terus mengadakan rundingan kerjasama dengan PAS bagi mencapai matlamat mereka.
 
"Bukan mereka (PKR) tidak mahu terima (PAS tidak mahu berbincang lagi), tetapi lebih kepada mereka bercakap berdasarkan kepada realiti iaitu mereka tidak mampu untuk mendapat kemenangan jika mereka sendirian tanpa kerjasama dengan PAS kerana mereka juga sebenarnya tumpuan mereka adalah untuk mendapatkan pengundi Melayu.
 
"Apabila PAS akan turut bertanding maka undi Melayu akan berpecah kepada tiga dan ini akan menyulitkan kemenangan PH terutamanya jika ianya diwakili oleh PKR.
 
"Sebab itulah mereka tetap walaupun kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh PAS menyatakan mereka tidak mahu bekerjasama, namun bukan itu yang difikirkan oleh PKR tetapi lebih kepada bagaimana ingin meneruskan kepimpinan mereka di Selangor dan realitinya untuk meneruskan kesinambungan itu mereka perlukan kerjasama dengan PAS," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: