TH E MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Penganalisis Politik menyangkal tuduhan bahawa Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sebagai agen Umno yang bertujuan menjadi musuh dalam selimut untuk memecah belahkan PKR.
Penganalisis Politik, Dr Jeniri Amir melihat Rafizi sebagai seorang individu yang konsisten dalam perjuangannya dimana beliau mendedahkan salah laku dan skandal membabitkan kerajaan.
“Rafizi konsisten memperjuangkan PKR dan mendedahkan isu-isu berkaitan dengan salah guna kuasa, rasuah membabitkan kerajaan dan juga eksekutif kerajaan untuk sekian lama,” katanya ketika dihubungi oleh The Malaysian Times (TMT) hari ini.
Oleh kerana itu, Jeniri berkata jika tuduhan itu benar maka Rafizi tidak akan mendedahkan isu salah guna kuasa dan rasuah membabitkan kerajaan.
“Itu sudah jelas bercanggah dengan kenyataan itu, kalau betol memang agen Umno yang ditanam dalam PKR tersebut. Sudah pasti dia (Rafizi) tidak akan mendedahkan kelemahan-kelemahan Umno.
“Sebaliknya, seperti kita lihat sebelum ini. Beliau telah mendedahkan kerajaan dan juga Umno.
“Jadi saya fikir, tuduhan itu, dakwaan itu adalah tidak berasas. Sama sekali tidak berasas dan kalau betul pihak yang buat tuduhan itu untuk membuktikannya sesungguhnya Rafizi ini agen Umno ataupun musuh dalam selimut PKR,” jelasnya.
Ketika ditanya adakah tuduhan bahawa Rafizi ini sebagai agen Umno akan menjejaskan undi PH pada PRU14 nanti, Jeniri berkata: “Saya tidak fikir, kerana pengundi sekarang dapat menilai sesuatu kenyataan itu.
“Pengundi tidak akan menerima satu kenyataan itu bulat-bulat begitu sahaja. Mereka lebih bijaksana untuk menilai kejujuran dan perjuangan Rafizi selama ini.
Semalam, media tempatan melaporkan, Ahli Majlis Tertinggi PKR, Latheefa Koya melemparkan kemarahan beliau terhadap Rafizi setelah ahli parlimen Kampung Pandan itu mengeluarkan esei sepanjanga 2000 patah perkataan yang menentang rundingan berterusan antara PAS dan PKR.
“Sila lihat apa yang dibuat oleh barah ini sekarang. Dia sedang memaksa parti pecah dua. Dia tak hadir mesyuarat. Tetapi dia berani hanya bagi kata dua melalui media. Ini namanya tindakan bacul,” kata beliau dalam posting Facebook merujuk kepada Rafizi.
Latheefa Koya juga membayangkan Rafizi sebagai agen Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan