Khamis, 31 Ogos 2017

Berani Zainal nyanyi pasal korupsi, kata Adibah Noor

 
 

Kadang-kadang deria orang seni memang cepat mengesan sesuatu yang dipandang biasa bagi orang kebanyakan.

Apatah lagi apabila suasana dihangatkan dengan pelbagai hiburan yang mengasyikkan seperti dipersembahkan semasa majlis penutup rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) hari ini.

Justeru ketika jutaan orang berseronok menyaksikan persembahan ramai artis terkenal mendendangkan pelbagai lagu popular, pengacara, pelakon dan penyanyi Adibah Noor sempat mengusik.

Komen penyanyi Terlalu Istimewa itu muncul di Twitter semasa Datuk Zainal Abidin menyampaikan salah satu lagu ikonnya, Hijau, di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Berani abang Zainal nyanyi pasal korupsi, opresi depan para pemimpin heheheh," katanya.

Sebenarnya ungkapan itu adalah sebahagian daripada lirik lagu Hijau yang dirakam pada 1990 sebelum diterbitkan pada Mei 1991.

Dihasilkan oleh Mukhlis Nor, Hijau bercerita mengenai alam sekitar dan kemusnahan yang dilakukan manusia.

Antara lain liriknya ialah:

Bumiku yang kian pudar
siapa yang melihat
di kala kita tersedar
mungkinkah terlewat

Korupsi, oppressi, obsessi diri
polussi, depressi di bumi kini



Penyanyi dari pelbagai generasi memeriahkan majlis penutup malam ini. Antaranya ialah Amy Search, Datuk Sheila Majid, Salamiah Hassan, Datuk David Arumugam dan Man Bai.

Semakan Malaysiakini setakat 12.15 pagi ini, status Adibah itu diulang tweet hingga lebih 1,070 kali dan disukai sebanyak 854 pengguna Twitter.

Pengguna akaun NaufalKadir antaranya menyatakan memuji status Adibah itu.

"@adibahnoor Bahahahaha ni pecah perut u!!" tulisnya.

Manakala pengguna akaun Shahrulhaidi pula menyamakan tindakan itu berani sama seperti Datuk Siti.

"@adibahboor berani cam dato siti," katanya.


Pelakon Sepet dan Aku Tak Bodoh itu juga bertanya mengapa lagu Cindai dan Lebih Indah tidak dinyanyikan oleh penyampai asalnya, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Sebaliknya lagu itu disampaikan juara Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana.

"Dua-dua lagu tokti (Siti) tapi bukan dia yang dijemput. Ko rasa?" katanya.

Korupsi menjadi antara isu utama dimainkan pengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang bakal berdepan dengan pilihan raya umum tidak lama lagi.

Najib bagaimanapun menafikan terlibat dalam sebarang salah laku atau penyelewengan, malah tidak beliau tidak pernah didakwa di mana-mana mahkamah setakat ini.

Pada masa sama Siti Nurhaliza sesekali dilihat lebih cenderung memihak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas perdana menteri dan presiden Umno itu kini mengetuai pakatan pembangkang untuk menjatuhkan Najib.

Perdana menteri dan menteri kabinet adalah antara orang kenamaan yang menyaksikan persembahan penutup gilang-gemilang KL2017.

Malaysia menjadi juara keseluruhan dengan 145 pingat emas. Perdana menteri turut mengumumkan cuti khas pada Isnin 4 Sept ini sebagai menghargai pencapaian atlet negara.

Tiada ulasan: