Ahad, 27 Ogos 2017

Tiada rundingan walaupun ia atas kapasiti individu, kata PAS kepada PKR

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS tetap bertegas dengan pendirian bahawa parti itu tidak akan lagi mengadakan rundingan kerjasama bersama PKR dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu sepatutnya sudah sedia maklum pendirian PAS itu selepas hubungan tahaluf siyasi kedua-dua parti itu tamat pada Mei lepas.
 
"Tidak ada lagi sebarang rundingan kerjasama politik untuk pilihanrya dengan mana-mana pihak kecuali menerusi Gagasan Sejahtera, termasuk atas nama individu sekalipun selagi ia membawa imej Pakatan Harapan (PH)," katanya menerusi aplikasi Whatsapp kepada Antarapos.
 
Malah katanya lagi, PAS bersama Gagasan Sejahtera (GAGASAN) sudah bersedia untuk berdepan dan melawan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH), sekaligus memenangi PRU14 kelak.
 
"Ahli dan pimpinan telah bersedia dari sudut psikologinya untuk masuk PRU14 bersama Gagasan Sejahtera berhadapan dengan Umno atau BN.  Atas moto PAS ganti Umno dan Gagasan Sejahtera ganti BN dan PH," kata beliau lagi.
 
Justeru katanya, tiada keperluan untuk PAS memaklumkan secara rasmi kepada PKR mengenai keenggganan partinya itu untuk mengadakan rundingan kerjasama antara mereka memandangkan ia sudah jelas. 
 
"Kita sudah ada keputusan, ia tidak berubah dan semua telah maklum. Jadi, tiada keperluan untuk memaklumkan secara rasmi kepada PKR," ujar beliau.
 
Beliau berkata demikian mengulas tindakan PKR yang seakan masih mahu mengadakan rundingan kerjasama bersama parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu walaupun kerjasama antara kedua-duanya sudah terputus Mei lalu.
 
Malah semalam, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali sekali lagi memberi bayangan bahawa parti itu akan mengadakan rundingan dengan PAS berhubung kerjasama di Selangor.
 
Beliau juga turut menegaskan, rundingan itu berlaku hanya antara PKR dan PAS dan tidak melibatkan Pakatan Harapan (PH).
 
Isu kerjasama ini kembali hangat selepas tersebarnya gambar kunjungan beliau bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
 
Malah Wan Azizah juga berkata tidak menolak kemungkinan jalinan kerjasama berikutan membawa misi yang sama dalam kalangan pembangkang iaitu menumbangkan Umno-BN.
 
 

Tiada ulasan: