Selasa, 29 Ogos 2017

Pakatan Harapan Bakal Hilang Undi Melayu- PRU14

Liya S.

pru14


Penganalisis politik menjangkakan Pakatan Harapan akan mengalami defisit undi Melayu pada PRU14 nanti.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, ketiadaan Pas dalam gabungan Pakatan Pembangkang itu, menjadi antara punca undi Melayu tidak memihak kepada Pakatan Harapan.

“’Tsunami Melayu’ ke atas Pakatan dijangka berlaku. Pakatan akan alami defisit undi Melayu. Sebabnya dahulu Pas bersama Pakatan dan membawa undi para penyokong dari kaum Melayu kepada Pakatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Md Shukri berkata, kini orang Melayu Pas sudah tidak akan mengundi Pakatan, maka perolehan undi dari orang Melayu terhadap Pakatan akan susut dan defisit.

Katanya, Pas kini membentuk pakatan blok ketiga pembangkang Gagasan Sejahtera bersama-sama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini, Pas lebih bersedia sebagai parti berkecuali dan pemerhati yang tidak memihak kepada suara-suara wakil rakyat dari Pakatan Harapan.

Katanya, walaupun Pas telah keluar dari Pakatan, namun di Dewan Rakyat, Pas memberi komitmen terhadap barisan Pembangkang dan menafikan desas-desus bahawa partinya mahu menjalinkan kerjasama politik dengan Umno.- Sinar


Tiada ulasan: