Ulasan Blog - Tulisan
saya pagi tadi tentang kenyataan Najib Razak bahawa beliau tiada kuasa
menentukan harga minyak, diterima dengan reaksi yang berbagai oleh
pembaca blog ini. Ada yang setuju, menyokong, tidak setuju, tidak
terkecuali ada yang melenting marah.
Untuk
pemahaman yang lebih lanjut, di bawah ini diperturunkan huraian oleh
Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan mengenai penetapan harga minyak
negara ketika ini.
Membacanya, mahu tidak mahu,
kita harus menerima hakikat bahawa Najiblah yang paling berkuasa
menentukan harga minyak. Beliau boleh menjadikan harganya murah dan
boleh juga membuatkannya mahal. Bak kata pepatah, hendak seribu daya,
tak hendak seribu dalih.
Marilah sama-sama kita
baca, faham dan hadamnya dengan jujur. Huraian beliau ini hakikatnya
sangat bermanfaat untuk akhirnya kita dapat menilai kejujuran Najib
apabila beliau berkata, "saya tiada kuasa mengenai turun naik harga
minyak."
Selamat membaca semua!! (ShahbudinHusin 23/08/2017)
Dato’
Seri Najib Tun Razak sepatutnya berasa malu dengan kenyataan beliau di
Perhimpunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), JKKK
Persekutuan (JKKKP) dan JKKK Orang Asli (JKKKOA) semalam kononnya beliau
“tidak ada kuasa dalam menentukan turun naik harga minyak setiap
minggu”.
Saya tidak pasti sama ada Dato’ Seri
Najib benar-benar percaya bahawa beliau tidak ada kuasa; atau pun itu
hanya helahnya untuk menutup keadaan sebenar iaitu wang rakyat yang
boleh digunakan untuk meringankan beban rakyat terutamanya mengawal
harga minyak telah dibazirkan oleh pentadbiran beliau dalam
projek-projek yang rugi besar seperti 1MDB, Felda dan lain-lain.
Saya yakin Dato’ Seri Najib tahu bahawa beliaulah yang mempunyai paling banyak kuasa dalam mengawal harga minyak di negara ini.
Kenyataan
beliau bahawa harga minyak mingguan tidak dikawal oleh Kerajaan
Persekutuan dan tertakluk kepada harga pasaran semata-mata adalah tidak
tepat.
Harga petrol (RON95 dan RON97) dan diesel
ditetapkan secara mingguan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggunakan formula berikut:
Harga
mingguan (RON95, RON97 dan diesel) = Harga minyak yang telah diproses
mengikut harga rujukan MOPS95 terbitan Platts + Jaminan Kos Operasi
& Keuntungan + GST (untuk RON97)
Harga minyak
diproses: harga pasaran minyak yang telah diproses mengikut gred seperti
yang diperdagangkan di Singapura dan laporan harganya diterbitkan oleh
penerbitan Platts. Harga yang dilaporkan adalah di dalam Dollar AS (USD)
dan perlu diterjemahkan kepada Ringgit Malaysia.
Jaminan
kos operasi dan keuntungan kepada pengendali stesen petrol dan syarikat
minyak: Kerajaan Persekutuan menetapkan satu kadar untuk menanggung kos
operasi dan memberi keuntungan kepada pengendali stesen minyak dan
syarikat minyak. Pada masa ini, kadarnya ialah 32 sen seliter (untuk
pengendali stesen minyak dan juga syarikat minyak) bagi RON95/RON97 dan
23 sen seliter bagi diesel
GST: Kerajaan
Persekutuan menetapkan sama ada bahan api seperti petrol dan diesel
dikenakan GST dan berapa kadar GST yang dibayar
Oleh
itu, Dato’ Seri Najib bertanggungjawab secara langsung dan tidak
langsung dalam menetapkan harga minyak mingguan di negara ini seperti
berikut:
SECARA LANGSUNG
i. Beliau
mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang membuat undang-undang
bahawa harga minyak dikira berdasarkan formula yang telah ditetapkan
(seperti di atas). Beliau hanya boleh mengaku beliau tidak mengawal
harga minyak jika Kerajaan Persekutuan tidak menetapkan langsung
bagaimana harga petrol dan diesel ditentukan oleh stesen minyak dan
menyerahkan bulat-bulat kepada peniaga untuk menentukannya (seperti mana
kerajaan tidak menetapkan harga goreng pisang).
ii.
Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menetapkan
bahawa harga minyak ditetapkan setiap minggu dan perlu dipatuhi oleh
semua stesen minyak.
iii. Beliau mengetuai
pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menetapkan bahawa kadar jaminan
kos operasi dan keuntungan yang dibayar kepada pengendali stesen minyak
dan syarikat minyak adalah 32 sen seliter atau 23 sen seliter (bagi
diesel). Harga minyak berubah mengikut berapa kadar yang ditetapkan oleh
Kerajaan Persekutuan. Jika Kerajaan Persekutuan menetapkan kadar yang
lebih rendah dari sekarang, maka harga minyak akan turun dan begitulah
sebaliknya.
iv. Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menetapkan bahawa RON97 perlu dikenakan GST pada kadar 6%.
v.
Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang memutuskan untuk
menghapuskan terus subsidi minyak yang selama ini digunakan untuk
mengawal harga minyak dan melindungi pengguna dari turun naik harga
minyak mentah dunia. Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan berupaya
memperuntukkan sehingga 20 sen subsidi seliter yang akan menurunkan
harga minyak apabila ia telah melepasi paras tertentu.
SECARA TIDAK LANGSUNG
i.
Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang berbelanja
dengan boros dan berlaku banyak ketirisan dan penyelewengan sehinggakan
rakyat terpaksa menanggung beban hutang yang tinggi.
Jumlah
bayaran tahunan faedah hutang Kerajaan Persekutuan telah mencecah
sekitar RM27 bilion setahun iaitu 5 kali ganda dari anggaran jumlah yang
diperlukan untuk memperuntukkan subsidi 20 sen seliter pada kuota 25%
penggunaan petrol dan diesel tahunan negara.
Hutang
1MDB yang semestinya telah melepasi RM50 bilion telah menyebabkan
rakyat Malaysia terpaksa membayar sekitar RM2 bilion setahun dalam
bentuk faedah, sedangkan jumlah ini boleh digunakan untuk menyediakan
subsidi bagi mengawal harga minyak.
Beban hutang
yang tinggi ini dan belanja membayar faedah yang besar setiap tahun
menyebabkan Kerajaan Persekutuan tidak ada wang untuk memperuntukkan
subsidi minyak yang mendorong kepada tindakan Dato’ Seri Najib
menghapuskan subsidi minyak.
ii. Beliau mengetuai
pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang gagal melindungi nilai matawang
ringgit sehingga nilai ringgit jatuh mendadak dari paras sekitar RM3.50
bagi setiap dolar kepada sekitar RM4.20 kini. Oleh kerana harga rujukan
adalah di dalam dolar, matawang ringgit yang lemah menyebabkan harga
RON95, RON97 dan diesel menjadi lebih mahal dari yang sepatutnya apabila
harga rujukan ditukarkan ke dalam ringgit seperti yang dikehendaki
formula.
Saya meminta Dato’ Seri Najib berhenti mencuci tangan dalam isu kenaikan harga minyak.
Beliau
sewajarnya berdebat dengan kami di Parlimen mengenai cadangan-cadangan
dari Pakatan Harapan untuk mengawal harga minyak yang pernah saya
utarakan, iaitu pengenalan subsidi untuk mengekalkan harga minyak pada
paras RM1.80 seliter yang tertakluk kepada kuota bulanan yang diberikan
kepada rakyat Malaysia yang layak; kuota bulanan itu ditentukan mengikut
peratusan dari jumlah penggunaan tahunan petrol dan diesel.
Kalau
saya yakin Pakatan Harapan boleh mengawal harga minyak pada paras
RM1.80 seliter dan stabil pada harga itu dalam suasana pasaran dunia
sekarang, beliau sepatutnya menjawab kepada rakyat kenapa beliau tidak
boleh berbuat yang sama?
Tindakan cuba membodohkan
rakyat kononnya beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga
minyak sebenarnya hanya menampakkan beliau bodoh.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan