Khamis, 6 Julai 2017

Zambry bakal ke parlimen?

Berita Daily Staff

Namun, usaha MB Perak Zambry bertanding di Lumut bukan kelihatan mudah

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Perak, Dr Zambry Abd Kadir, dikatakan bakal akan bertanding di parlimen Lumut pada Pilihan Raya Umum (PRU14) akan datang dalam usaha Perdana Menteri Najib Razak mentransformasi kabinet baharu selepas PRU14.

Menurut sebuah sumber dalaman Umno, Najib kini dalam proses mengenal pasti pemimpin-pemimpin sesuai untuk melantik sebagai menteri selepas PRU14.

“Ini adalah kemungkinan. Selepas BN menang pada PRU14, Najib nak membuat rombakan kabinet untuk meyakinkan rakyat. Kami di Umno percaya beberapa muka baru akan diserapkan ke dalam kabinet baru ini nanti. Dan salahsatunya adalah Menteri Besar Perak,” katanya kepada Berita Daily.

Menurut sumber itu, kejayaan Zambry mengekalkan BN terus berkuasa di Perak pada PRU yang lalu dan kewibawaan beliau membawa negeri Perak “in right track” (landasan yang betul) mengujakan Perdana Menteri untuk membawa Zambry ke Kerajaan Pusat.

“Tetapi, ini masih awal. Kita dengar Umno pusat sedang bincang dengan Zambry untuk bertanding di Lumut. Kalau Zambry setuju maka akan ada Menteri Besar di Perak,” kata sumber tersebut yang tidak ingin mendedahkan namanya.

Namun, usaha Zambry bertanding di Lumut bukan kelihatan mudah.

“Pertama beliau perlu setuju. Kedua MCA kena setuju kerana kerusi Lumut milik MCA. Ketiga, Umno kena calon Menteri Besar yang baharu dan sesuai.

“Jadi, apa yang saya katakan tadi masih awal. Pada masa yang sama, ia juga tidak boleh ditolak,” tambah sumber tersebut.

Untuk rekod, Zambry berasal dari Pulau Pangkor (sebuah kerusi DUN di parlimen Lumut) bertanding dalam pilihanraya umum 2004 bagi kerusi DUN Pangkor and berjaya mempertahankan kerusi tersebut dalam PRU 2008 dan 2013.

Beliau kini memegang tampuk pemerintahan Negeri Perak sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua setelah dilantik ke jawatan tersebut oleh Najib pada 12 Mei 2009, selepas tiga Adun Pakatan Rakyat menjadi Adun Bebas dan menyokong BN untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Zambry juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Ketua Umno Bahagian Lumut. Namun perjalanan politik beliau bukanlah semudah yang disangkakan malah beliau pernah ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) pada tahun 1998.

Parlimen Lumut yang secara tradisinya, ditandingi oleh MCA, sebelum tewas kepada calon PKR pada PRU13.

Mohamad Imran Abd Hamid bertanding atas tiket PKR mengalahkan calon BN Kong Cho Ha yang merupakan ahli parlimen di Lumut sejak 1999 hingga 2013.


Tiada ulasan: