KUALA LUMPUR – Stesen minyak masih merupakan perniagaan
yang menguntungkan pada jangka panjang walaupun berdepan pergolakan
harga minyak yang tidak menentu khususnya pada Jun lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan Seng, Datuk Seri Lim Chin Hui yang
mengusahakan 300 stesen minyak berkata, walaupun banyak stesen minyak
gagal memperoleh keuntungan pada bulan Jun, tetapi ia dipercayai hanya
merupakan fenomena sementara.
Beliau berkata demikian kepada China Press sebagai mengulas laporan
bahawa sebanyak 80 stesen minyak terpaksa menggulung tikar dalam tempoh
dua tahun kerana berdepan kerugian ekoran pergolakan harga bahan api.
Chin Hui berkata, pengusaha stesen minyak tidak dibenarkan menamat
perniagaan secara sesuka hati kerana ia tertakluk kepada Akta Kemajuan
Petroleum 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 yang antaranya bertujuan
menjamin bekalan bahan api kepada pengguna.
Jelasnya lagi, sebanyak 15 stesen minyak Caltex yang ditutup pada
akhir bulan Jun adalah disebabkan kontrak mereka dengan Chevron telah
sampai tempoh akhirnya dan memperoleh kelulusan penutupan daripada
kerajaan.
Katanya, pada masa ini terdapat kira-kira 4,000 buah stesen minyak
di seluruh negara dengan persaingan antara lima jenama terkenal iaitu
Shell, Petronas, Caltex, BHP dan Petron.
Menurutnya lagi, stesen minyak masih menjanjikan keuntungan jika ia diusahakan secara baik.
Chin Hui bagaimanapun menggesa kerajaan mengkaji semula kadar
komisen yang diperoleh pengusaha stesen minyak yang mana ia
diperhitungkan berdasarkan jumlah liter petroleum yang dijual dan
bukannya berdasarkan peratusan keuntungan.
Katanya, sesebuah stesen minyak yang mempunyai stok berjumlah
banyak boleh kehilangan beribu-ribu ringgit semalaman jika harga jualan
diturunkan tujuh sen seliter. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan