shahbudindotcom
Oleh
kerana kerja membela dan mempertahankan Najib Razak merupakan kerja
paling sia-sia di dunia, kadangkala terasa kelakar serta geli hati
dengan hujah-hujah yang dilontarkan oleh para pembela dan pentaksubnya.
Di
ketika yang lain, sesekali macam nak muntah dan loya pun ada juga
lantaran apa yang mereka hujahkan tidak masuk akal dan menyimpang
terlalu jauh daripada fakta yang sebenar.
Dalam
isu saman DOJ, ada yang berkata kenapa badan penguasa undang-undang AS
itu sibuk-sibuk mahu bertindak merampas harta-harta di pelbagai negara
sedangkan 1MDB sendiri tidak pernah sama-sekali melaporkan kehilangan
wangnya.
Untuk
menyedapkan lagi cerita, dijaja pula berita melalui saluran arus
perdana bahawa saman DOJ itu lebih bermotif politik dan suatu bentuk
campurtangan asing terhadap negara kita.
Maka,
menjeritlah mereka, baik yang bersongkok mahu pun yang berkopiah dan
berserban di kepala - marilah kita jaga kedaulatan negara kita dan
jangan biarkan pihak asing mencampuri urusan kita. Lalu dilaungkan juga
biarlah kita selesaikannya melalui cara kita sendiri.
Sementara
mereka ini lupa atau buat-buat lupa bahawa semua agensi penguatkuasa
dalam bagaikan sudah dirantai kaki dan dibisukan daripada bertindak
terhadap 1MDB, saman sivil DOJ itu sebenarnya jauh tersasar sama-sekali
untuk dijuruskan sebagai campurtangan asing.
Selain
tindakan DOJ adalah berdasarkan undang-undang mereka kerana memperguna
sistem kewangan AS untuk mencuci wang haram, sebagaimana disebut oleh
beberapa pengomen dalam blog ini, pelaku-pelaku yang dirampas hartanya
itu sebenarnya telah melanggar undang-undang negara asing dan bukan
suatu bentuk campurtangan asing.
Jika
melalui wang yang disonglap itu Jho Low menggunakan Bank Simpanan
Nasional milik kerajaan Malaysia misalnya dan membeli hartanah di Pekan,
Marang, Temerloh dan Kuala Nerus atau memborong lukisan di Pasar Seni
saja, tentulah tidak teringin sama-sekali untuk DOJ bertindak
mengemukakan saman sivilnya.
Juga
tentu tiada tindakan daripada DOJ jika Jho Low hanya membeli-belah di
Poh Kong atau Habib Jewels semua barang kemas, intan berlian serta
permata merah jambu untuk dihadiahkan kepada Miranda Kerr dan isteri
Malaysian Official 1.
Pasti
juga tiada tindakan daripada DOJ jika Riza Aziz hanya melabur di
syarikat filem dalam negara atau membuat versi baru kepada filem-filem
lama seperti Bujang Lapok, Hang Tuah dan sebagainya.
Dengan
Jho Low dan Riza Aziz hanya melabur dan berbelanja cuma di dalam
negara, Peguam Negara tentulah turut lebih mudah membersihkan dan
mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh mereka.
Tetapi,
oleh kerana mereka itu menggunakan sistem kewangan AS dan sebahagian
harta atau aset juga dibeli di sana, maka tentulah DOJ berhak bertindak
berdasarkan undang-undang mereka sebagai sebuah negara yang berdaulat
dan merdeka.
Itulah
juga yang dilakukan oleh Singapura, Switzerland dan Luxembourg dalam
mendenda, menutup bank dan memenjara mereka yang dipercayai terlibat
dalam membantu atau bertindak cuai dalam aktiviti pencucian wang haram
yang merupakan suatu jenayah di seluruh dunia.
Kenapa DOJ sibuk-sibuk bertindak sedangkan 1MDB sendiri tidak pernah melaporkan kehilangan wangnya?
Jika
kita teliti berdasarkan kertas pendakwaan DOJ, asas penyiasatan mereka
ialah kerana wujudnya konspirasi peringkat antarabangsa untuk
menyeleweng dana kekayaan Malaysia bagi membiayai cara hidup mewah
mereka dengan mengorbankan kepentingan rakyat Malaysia sendiri.
Jika
ia sudah dikatakan suatu bentuk konspirasi dengan banyak pihak yang
terkait dengan 1MDB sendiri mendapat manfaat daripadanya, maka tentulah
tidak mungkin kehilangan wang itu dilaporkan kepada sesiapa. Malah,
seboleh-bolehnya, akan terus disembunyikan lagi.
Namun, adakah 1MDB benar-benar kehilangan wangnya?
Jika tiada wang yang hilang daripada 1MDB, di manakah Jho Low dan Riza Aziz mendapat semua wang untuk bermewah dan berbelanja?
Adakah
mereka ahli perniagaan ternama, diketahui nama syarikat dan jenis
perniagaannya sebelum ini atau keluarga mereka daripada golongan super
kaya?
Jika
kita lihat berdasarkan laporan PAC, terdapat fakta yang mudah untuk
difahami bahawa memang berlaku kehilangan wang atau wang yang tidak
dapat disahkan berjumlah kira-kira AS$7 bilion daripada 1MDB.
Ia
meliputi pelaburan di Cayman Islands berjumlah AS$2.318 bilion, bayaran
kepada Good Star Ltd milik Jho Low sebanyak AS$1.3 bilion, bayaran
kepada syarikat klon Aabar BVI sebanyak AS$3.51 bilion, AS$940 juta yang
disimpan dalam bentuk unit di BSI Bank Singapura dan AS$1.56 bilion
yang dilabur dalam 1MDB Global Investment Ltd.
Secara
keseluruhannya, jumlah wang AS$7 bilion yang tidak dikesan itu adalah
dapatan berdasarkan laporan audit yang dibuat oleh Ketua Audit Negara,
tetapi ia kemudian diOSAkan daripada pengetahuan umum.
Selain
itu, jika tiada wang 1MDB yang hilang, mengapa IPIC menafikan Aabar BVI
itu adalah anak syarikatnya dan kemudian membawa kes ka mahkamah
timbangtara di London untuk menuntut wang mereka yang sepatutnya dibayar
kepada Aabar Investment yang didaftarkan di Abu Dhabi?
Mengapa
juga, 1MDB memilih untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah dengan
setuju membayar AS$1.2 bilion serta menebus kembali bon berserta dengam
faedahnya sekali kalau benar-benar bayaran secara betul sudah dibuat?
Dalam
kes kehilangan wang 1MDB, memang ia tidak dikaitkan dengan Najib kerana
ia bukanlah bidang kuasa PAC berbuat demikian, tetapi disahkan ada
kehilangan wang berlaku dalam syarikat tersebut.
PAC
seterusnya juga mahukan pihak polis melakukan siasatan lanjut kerana
1MDB dan Kementerian Kewangan tidak menyerahkan penyata akaun dokumen
untuk mengesahkannya.
Seperti
yang kita sedia maklum, siasatan oleh pihak polis berkaitan 1MDB masih
lagi belum selesai meskipun sudah lebih setahun berlalu daripada tempoh
laporan PAC itu dibentangkan.
Tetapi,
dalam laporan DOJ yang menyebut Malaysian Official 1 menerima AS$731
juta wang 1MDB yang dilencongkan melalui akaun peribadinya, Najib yang
disahkan oleh Abdul Rahman Dahlan sebagai MO1 tidak pernah sama-sekali
menafikannya.
Kenapa Najib tidak berani menafikan laporan DOJ itu?
Begitu
juga dengan isteri Malaysian Official 1 yang didakwa menerima hadiah
barang kemas berjumlah RM128 juta daripada Jho Low, turut sama tidak
pernah menafikannya. Yang ada cuma ugutan mahu menyaman saja.
Mengapa tidak pernah membuat penafian jika tidak pernah menerima hadiah barang kemas tersebut?
Lebih
dari itu, kenapa hanya berani melalak saja, tetapi langsung tidak
bertindak menyaman atau membuat celahan dalam saman sivil DOJ itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan