Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Penyertaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Zaid Ibrahim ke dalam DAP dijangka tidak memberi sebarang impak kepada
cubaan parti itu untuk menarik sokongan pengundi Melayu.
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dengan yakin
berkata, ini kerana pengundi Melayu sendiri bijak menilai berdasarkan
'track record' Zaid sendiri yang kerap melompat parti.
"Dulu Umno, kemudian pergi PKR. Kemudian keluar dan tubuh parti
sendiri, dan sekarang nak masuk DAP. Jadi bagi saya, saya tak memandang
berat perkara ini.
"Orang Melayu dah 'biasa' dengan dia, dah tahu cara dia, perangai dia.
Jadi saya kira tak payah takutlah dia nak masuk DAP. Impaknya kepada
Melayu adalah kosong," katanya kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian mengulas sama ada penyertaan Zaid ke dalam DAP
merupakan sebahagian agenda parti itu untuk meraih lebih sokongan
pengundi Melayu.
Zaid, bekas pengasas Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA)
dilaporkan akan menyertai DAP dan pengumuman mengenainya dijangka dibuat
dalam satu sidang media, 7 Februari ini.
Menurut jemputan sidang media itu, majlis berkenaan akan turut disertai
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan
bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Sumber-sumber DAP mengesahkan Zaid sudah pun memohon memasuki parti itu yang sebelum ini kehilangan beberapa pemimpin Melayu.
Kemasukannya ke dalam DAP dilihat bertujuan menghakis tanggapan umum
bahawa DAP terlampau berteraskan kaum Cina dan tidak memberi ruang
kepada ahli Melayu.
Setelah meninggalkan Umno, Zaid menyertai PKR pada 2009 dan diberi
peluang oleh parti itu untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen
Hulu Selangor kurang setahun kemudian.
Bagaimanapun beliau tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan.
Zaid kemudian bertindak keluar daripada PKR selepas mengkritik
kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali
secara terbuka.
Beliau turut mendakwa pemilihan PKR tidak telus dan sarat dengan penipuan.
Pada Disember 2010, Zaid menubuhkan KITA namun parti pembangkang itu
gagal menunjukkan sebarang impak dan dibelit dengan perbalahan dalaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan