Ahad, 5 Februari 2017

PPBM lebih memerlukan PAS, bukan PKR, kata Azmin

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) lebih memerlukan kerjasama politik dengan PAS berbanding PKR, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
Beliau berkata PPBM dan PAS mempunyai tarikan tersendiri kepada pengundi Melayu luar bandar, justeru kerjasama antara dua parti itu penting bagi menghadapi pilihan raya umum ke 14.
 
"Mereka (PPBM) seharusnya harus berbincang  dengan PAS kerana wujud pertindihan antara dua parti itu bersabit pengundi yang disasarkan," kata Timbalan Presiden PKR itu.
 
"Mereka (PPBM) kena balik ke kerusi-kerusi yang majoritinya pengundi Melayu yang secara tradisi diletakkan calon PAS. Jadi mereka (PPBM) yang lebih memerlukan PAS, berbanding kita," tambah beliau kepada akhbar Malay Mail.
 
Sungguhpun PPBM-PAS menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal untuk memperincikan bidang kerjasama antara dua parti itu namun hubungan mereka masih penuh persoalan.
 
Ini kerana tuduhan-tuduhan melulu Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pimpinan utama PAS dan kerjasama PPBM dengan Amanah dan DAP – dua musuh politik utama PAS.
 
Azmin menggesa pemimpin PPBM dan PAS supaya mengenepikan sebarang perbezaan untuk memantapkan cabaran pembangkang pada PRU 14.
 
Beliau berkata Selangor menjadi contoh jelas 'di mana pemimpin yang berbeza pandangan masih boleh bekerjasama'.
 
Kerajaan negeri pimpinan Azmin merangkumi wakil DAP dan PAS walaupun dua parti itu memutuskan kerjasama politik mereka selepas PRU 13 ekoran perbalahan berterusan.
 
Kerjasama DAP-PAS di peringkat Selangor itu bagaimanapun dilihat semakin rapuh menjelang PRU14 dan DAP kini cuba meraih sokongan pengundi Melayu menerusi permuafakatan dengan Amanah dan PPBM.
 
 

Tiada ulasan: