Ahad, 5 Februari 2017

Kerjasama dengan PPBM: PAS Pusat mungkin bermesyuarat sebelum 18 Februari

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Jawatankuasa PAS Pusat berkemungkinan akan bermesyuarat sebelum Himpunan RUU 355 pada 18 Februari ini untuk mencapai pendirian berhubung kerjasama partinya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali bagaimanapun berkata, sebarang tarikh bermesyuarat akan diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.
 
"Mungkin sebelum (Himpunan 355), barangkali. Namun kita kena tunggu tarikh daripada Setiausaha Agung.
 
"Ia (mesyuarat) mesti diadakan bulan ini," katanya ringkas kepada Antarapos, hari ini.
 
Rabu lalu, PAS dan PPBM mengadakan mesyuarat secara rahsia di ibu negara bagi merintis jalan ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.
 
Mesyuarat itu menghasilkan draf kerjasama yang akan diperincikan oleh kedua-dua pihak untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada satu tarikh terdekat.
 
Pada mesyuarat itu juga kedua-dua parti turut membentuk jawatankuasa teknikal bersama untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan yang dipersetujui.
 
Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya menjangkakan jalan kerjasama antara partinya dengan PAS akan merintis usaha ke arah penyatuan parti-parti pembangkang yang lebih kukuh bagi menghadapi Barisan Nasional (BN).
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyifatkan mesyuarat di antara dua parti itu pada Rabu lalu sebagai pertemuan 'biasa' atas permintaan PPBM, dan bukan perundingan khusus.
 
Malah beliau berkata mesyuarat berkenaan belum lagi membawa ke arah kerjasama PAS-PPBM.
 
Diajukan hal itu, Mustafa menjelaskan kenyataan Hadi mungkin disalah tafsir sesetengah pihak, sedangkan pemimpin partinya itu mahu sebarang keputusan yang bakal dicapai PAS perlu dibincang secara mendalam menerusi mesyuarat parti.
 
"Media yang sebut begitu. Hadi tak sebut begitu.
 
"Hadi tahu, cuma keputusan itu akan dibawa ke pimpinan tertinggi," kata Mustafa.
 
Sebagaimana ditegaskan berulang kali, Hadi dalam kenyataan terbaru itu turut menyebut PAS tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.
 
Beberapa pemimpin PAS, termasuk Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan menyifatkan kerjasama PAS-PPBM masih belum muktamad dan masih berada di peringkat perbincangan.
 
Manakala Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki pula menyifatkan jalan ke arah kerjasama PAS-PPBM masih jauh, kerana apa jua bentuk cadangan perlu terlebih dulu diteliti Jawatankuasa PAS Pusat sebelum dibawa ke majlis syura ulama (MSU).
 
 

Tiada ulasan: