PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini secara
rasminya mengesahkan lelaki Korea Utara yang mati di Lapangan Terbang
Antarabangsa KL 2 (klia2) pada Isnin ialah Kim Jong-nam, abang pemimpin
tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.
Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana
menteri berkata Jong-nam ialah orang yang sama dengan pemilik pasport
menggunakan nama Kim Chol.
Identiti itu disahkan berdasarkan pada pasport itu, yang menurutnya adalah tulen.
Beliau berkata Jong-nam menggunakan dua
identiti berbeza yang mungkin merupakan pasport bagi tujuan penyamaran,
dan dokumen itu adalah tulen.
“Identiti beliau disahkan daripada
pasport yang kami bandingkan dengan dokumen dikeluarkan oleh Kedutaan
Korea Utara dan menerusi identiti yang dikeluarkan kedutaan,” katanya
pada sidang media selepas mempengerusikan dialog meja bulat dengan
pemimpin-pemimpin industri mengenai pekerja asing, di sini.
Ditanya sama ada polis telah mengenal
pasti lelaki Korea Utara itu menerusi DNA lelaki itu, Ahmad Zahid
berkata pihak berkuasa hospital dan polis akan mengeluarkan kenyataan
rasmi berhubung perkara itu kerana ia merupakan soal pengurusan.
Beliau berkata kerajaan akan memberi
kerjasama terhadap sebarang permintaan daripada pihak Korea Utara untuk
menuntut mayat, mengikut prosedur operasi standard,
Mayat akan diserahkan kepada waris atau kedutaan selepas semua prosedur polis dan perubatan selesai, katanya.
“Setakat ini, (tiada) sebarang
permohonan rasmi (daripada waris) tetapi mereka (keluarga) mungkin
menyalurkan permohonan mereka kepada pihak kedutaan Korea Utara,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan