KUALA LUMPUR:
Pesakit buah pinggang di negara ini perlu menunggu antara lima hingga 10
tahun sebelum tiba giliran mereka bagi mendapatkan rawatan pemindahan
organ baharu.
Ketua Pendidikan Awam Yayasan Buah
Pinggang Kebangsaan (NKF), Maznifah Fatah berkata tempoh yang lama itu
adalah kerana ketika ini hanya satu peratus daripada 30 juta penduduk
negara ini yang berikrar untuk menderma buah pinggang mereka.
“Ini kerana kurangnya kesedaran orang
ramai mengenai kepentingan menderma organ bagi membantu mereka yang
memerlukan,” katanya ketika ditemui pada kempen menderma organ di Ibu
Pejabat Besraya, Plaza Tol Lok Yew di sini hari ini.
Menurutnya pada masa ini terdapat lebih 19,000 pesakit buah pinggang yang sedang menunggu untuk mendapatkan organ baharu.
Beliau berkata selain pesakit buah
pinggang, pesakit lain yang turut menunggu pendermaan organ baharu
termasuk pesakit jantung iaitu seramai tujuh orang sementara hati dan
paru-paru masing-masing seramai enam orang.
“Oleh itu NKF mengadakan kempen
kesedaran bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai
kepentingan menderma organ,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Unit
Perniagaan Besraya (M) Sdn Bhd, Md Zohir Harun berkata program itu
dijalankan dengan kerjasama NKF sebagai tanda sokongan mereka dalam
menjayakan kempen menderma organ.
“Ini merupakan tahun kedua program
seperti ini dijalankan bagi menggalakkan orang ramai dan kakitangan
syarikat kami untuk sama-sama menyertainya dan menjadi penderma organ,”
katanya.
Seorang kakitangan Besraya (M) Sdn Bhd,
Khairunnisa Md Ismail, 30, berkata program itu memudahkan mereka
mendapat maklumat mengenai pendermaan organ dan pada masa sama membuat
pemeriksaan kesihatan.
“Melalui program seperti ini juga kita
boleh mengesan awal tanda-tanda sebarang penyakit sekiranya mempunyai
masalah kesihatan,” katanya.
Nor Arif Mustapah, 25, peronda lebih
raya Besraya (M) Sdn Bhd pula berpendapat program itu memberi kemudahan
kepada mereka untuk membuat pemeriksaan kesihatan tanpa perlu ke pusat
kesihatan.
Pada program itu, beberapa pemeriksaan
kesihatan diadakan antaranya pemeriksaan buah pinggang, berat badan,
mata dan payudara dijalankan secara percuma.— Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan