Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: PAS Kelantan menafikan 'ramalan' seorang Ahli Parlimen DAP
kononnya parti itu terpaksa membentuk pakatan pilihan raya bersama Umno
dalam usaha mempertahankan negeri berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU14).
Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, tiada
sebarang pakatan antara PAS dan Umno di negeri itu setakat ini.
"Setakat ini tiada sebarang bentuk pakatan, dan PAS Kelantan akan ikut
keputusan yang dibuat di peringkat pusat," katanya kepada Antarapos.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong mendakwa PAS
berkemungkinan tidak dapat mempertahankan Kelantan pada pilihan PRU14.
Memetik hasil kajian pihaknya, Chin Tong mendakwa kemungkinan tersebut
boleh berlaku jika Amanah mampu memberikan cabaran serius kepada PAS di
10 daripada 31 kerusi DUN yang disandangnya.
"Jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula mampu memberi saingan
di 5 daripada 12 kerusi DUN yang kini disandang oleh Umno, PAS dan Umno
mungkin tidak lagi boleh bersenang-lenang dalam bertanding antara satu
sama lain di Kelantan.
"Hakikatnya PAS mungkin terpaksa membentuk pakatan pilihan raya bersama
Umno di Kelantan, sama ada melalui pilihan atau kesesuaian," petik kata
Ching Tong yang juga pengarah pendidikan politik DAP dalam blognya.
Che Abdullah yang juga ADUN Wakaf Baru dalam pada itu berkata,
penyertaan Amanah untuk bertanding di kerusi PAS hanya akan memberi
keuntingan kepada Umno-BN.
"Kalau PAN (Amanah) bertanding pun, kita tak nampak mana-mana tempat
yang PAN (Amanah) boleh menang, cuma mungkin di kawasan kita menang
dengan majoriti kecil, mungkin PAN (Amanah) boleh membantu untuk
menangkan Umno di kawasan tersebut," katanya lagi.
Beliau turut membidas Amanah yang menafikan dengan mulut kononnya mahu
menentang Umno-BN sedangkan usaha yang diperlihatkan kini adalah
sebaliknya.
"Kita (PAS) tak perlu nafi dengan mulut, kita nafi dengan kerja dan di
sini PAN (Amanah) yang buat kerja untuk membantu Umno di Kelantan,
dengan mulut boleh jadi mereka kata nak kalahkan Umno, tapi kerja mereka
di Kelantan ini adalah memenangkan Umno," katanya.
Pada masa ini, PAS menguasai 31 kerusi DUN di Kelantan setelah Datuk
Husam Musa keluar menyertai Amanah, PKR pula memperoleh 1 kerusi DUN
manakala Umno memegang 12 kerusi DUN.
Dalam pada itu Che Abdullah juga ditanya sama ada rundingan antara
PAS-PPBM yang sedang berlangsung di peringkat pusat akan memberi kesan
kepada keputusan PAS Kelantan.
"Kita akan sesuaikan apabila ada keputusan di peringkat pusat, apa saja
keputusan pusat, apabila ada keputusan, kita akan menjalankan keputusan
tersebut dan kita yakin ahli PAS yang ada sekarang, adalah yang cukup
faham dengan kerja berjemaah," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan